Pemegang PhD palsu mungkin dihukum

Pemegang PhD palsu mungkin dihukum

Menteri pengajian tinggi berkata garis panduan mengenai isu itu akan siap dalam tempoh 2 bulan.

idris-jusoh-degree
PETALING JAYA:
Kementerian Pengajian Tinggi mencadangkan garis panduan untuk mencegah penyalahgunaan gelaran akademik seperti “Dr”.

Ini susulan pertikaian mengenai kelayakan doktor falsafah dipegang penceramah motivasi Azizan osman.

Akhbar New Straits Times melaporkan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata kementeriannya akan mengemukakan garis panduan berhubung isu itu.

“Kami sedang berbincang dengan beberapa universiti mengenai perkara itu, dan akan mengeluarkan garis panduan dalam tempoh 2 bulan,” katanya pada majlis penyampaian surat pelantikan ahli Majlis Profesor Kebangsaan, semalam.

“Paling utama kita perlu mentafsirkan dengan jelas apa yang dimaksudkan dengan penyalahgunaan gelaran PhD, dan sama ada tindakan itu boleh dianggap sebagai satu jenayah,” katanya.

Bulan lalu, 3 universiti di Malaysia dan 1 universiti luar negara menafikan menganugerahkan ijazah kedoktoran kepada Azizan.

Universiti Malaya (UM) yang pertama tampil dengan penafian itu, diikuti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (IUKL) dan University of Hertfordshire di United Kingdom.

Azizan, dalam satu kenyataan menerusi syarikatnya Richworks, mendakwa sepanjang 4 tahun lalu, beliau memenuhi semua syarat untuk doktor falsafah (Psikologi) dari University of Hertfordshire, United Kingdom.

“Konvokesyen beliau di University of Hertfordshire akan diadakan tidak lama lagi,” menurut kenyataan Richworks.

Dengan “kehilangan” kelayakan daripada 4 universiti dalam tempoh 2 minggu, Azizan kini hanya mempunyai “Doktor Sains (Metafizik)” dari Gordon University di Florida.

Pautan

̶ ̶D̶r̶ Azizan Osman kantoi lagi

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.