
Pengarah Eksekutifnya, Rafizi Ramli berkata anggota terlibat tidak memberikan sebarang notis bertulis untuk memerika rekod kewangan Now.
“Perkara itu adalah bertentangan dengan undang-undang kerana SSM tidak ada kuasa untuk datang tanpa notis bertulis untuk memeriksa apa-apa dokumen sebuah syarikat atau pertubuhan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Rafizi, alasan diberikan anggota SSM adalah untuk memudahkan urusan. Sekiranya notis diberikan, Now terpaksa mengemukakan semua dokumen yang disenaraikan di dalam notis tersebut.
“Untuk membantu Now, mereka mencadangkan lebih baik jika mereka diberikan dahulu rekod lejer dan mereka akan memilih dokumen mana yang sesuai,” katanya.
Rafizi bagaimanapun berkata SSM seharusnya mematuhi Bahagian 4 (Seksyen 27A hingga 27D) Akta Suruhanjaya Syarikat Malaysia mengenai kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan.
“Saya telah menasihatkan Now untuk menunggu notis bertulis tersebut dan tidak memberi apa-apa akses kepada maklumat selagi notis bertulis itu tidak dikeluarkan.
“Sebaik sahaja notis bertulis itu dikeluarkan mengikut undang-undang, saya akan menasihatkan Now untuk menyerahkan semua maklumat kewangan bagi tujuan Seksyen 167 Akta Syarikat kepada SSM,” katanya.
Dalam pada itu, Rafizi akan berunding dengan peguam untuk mencabar notis bertulis itu sekiranya SSM menyenaraikan maklumat yang tidak ada kena mengena dengan keperluan penyiasatan di bawah Seksyen 167 Akta Syarikat.
“Contohnya maklumat kes-kes penyelewengan yang kami sedang siasat, saya akan berunding dengan peguam untuk mencabar notis bertulis itu,” katanya.
Rafizi menasihatkan supaya SSM menumpukan kepada penemuan Ketua Audit Negara mengenai salahlaku 1MDB dan dirumuskan oleh Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC).
“Pelanggaran–pelanggaran oleh 1MDB mengikut peruntukan di bawah Akta Syarikat adalah banyak dan saya sendiri telah membuat laporan polis mengenai pelanggaran-pelanggaran di bawah Akta Syarikat ini. Kenapa sehingga sekarang SSM masih belum menyerbu 1MDB?” soalnya.