Bajet 2017: Kesatuan sekerja mahu pengambilan pekerja asing dihadkan 20%

Bajet 2017: Kesatuan sekerja mahu pengambilan pekerja asing dihadkan 20%

MTUC dalam tuntutan 13 perkara kepada Perdana Menteri turut meminta cukai lebih tinggi ke atas syarikat yang bergantung kepada pekerja asing

Abdullah Sani
PETALING JAYA: Kurang seminggu pembentangan Bajet 2017 pada 21 Oktober ini, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mahu kerajaan menghadkan pengambilan pekerja asing kepada 20% di setiap tempat kerja.

Perkara itu sebahagian daripada tuntutan 13 perkara MTUC kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak malam tadi.

“MTUC yang mewakili kaum pekerja kebanyakannya daripada sektor swasta amat mengharapkan Bajet 2017 boleh memberi kesaksamaan dan kesejahteraan kepada semua rakyat,” kata Pemangku Presiden Abdullah Sani Abdul Hamid.

Isu pengambilan pekerja asing yang ramai berbanding pengambilan pekerja tempatan antara isu yang berlarutan sejak tahun lepas, menyusuli langkah pengurangan jumlah kakitangan sejak beberapa tahun lalu.

Majikan beralasan pekerja tempatan tidak mahu melakukan kerja yang kotor, sukar dan bahaya, namun pengkritik menjawab gaji yang dibayar tidak setimpal.

Lantas MTUC dalam tuntutannya menggesa kerajaan supaya mengenakan cukai yang lebih tinggi kepada syarikat yang bergantung kepada pekerja asing.

Dalam masa yang sama, MTUC mahu skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) diperluaskan kepada semua pekerja asing kerana “pada masa ini mereka tiada sebarang perlindungan”.

“Insentif khas harus diberikan kepada majikan yang menggajikan pekerja tempatan,” kata Sani, disamping pelepasan cukai bagi syarikat yang memberi elaun khas dan bonus untuk pekerja.

Tuntutan lain adalah meningkatkan sumbangan caruman KWSP, kadar premium 0.25% untuk skim insurans pekerjaan yang bakal dilaksanakan tidak lama lagi, gaji minimum RM1,500 untuk semua sektor dan pelepasan cukai perseorangan daripada RM9,000 kepada RM12,000.

Sani ketika dihubungi FMT berkata MTUC gagal mendapatkan respon Najib berhubung beberapa memorandum yang dihantar sebelum ini, dan cadangan janji temu untuk membincangkan penyelesaian isu pekerja.

“Tetapi pertemuan itu tidak berlaku lagi. Saya rasa tiga empat surat kita dah hantar,” kata.

Najib sebelum ini mengajak rakyat memberikan cadangan mereka dalam penyediaan Bajet 2017, dan membuka laman khas bagi tujuan itu mulai 5 September hingga 19 September lalu.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.