
Ketua Operasinya Mustada Silong berkata pihaknya menerima aduan mengenai kejadian itu pada 2.50 petang tadi, dan mengambil masa kira-kira sejam untuk mengawal kebocoran gas berkenaan dengan menutup saluran paip yang bocor.
“Kebocoran hanya melibatkan sebuah tabung gas sahaja tetapi bomba terpaksa melakukan penyemburan kabus pada permukaan jalan raya bagi membersihkan kawasan tercemar.
“Selain itu, bomba turut mengasingkan 95 tabung gas bagi memastikan tiada kebocoran berlaku sementara menunggu pembekal gas berkenaan membawa kesemua gas berkenaan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.
Beliau berkata sesiapa yang terhidu gas itu secara berlebihan boleh mengalami sesak nafas, kerosakan mata dan gatal kulit.
Mustada berkata kejadian itu dipercayai berlaku apabila lori berkenaan melanggar belakang sebuah kereta lalu terbalik.
Dua lelaki berumur 30 tahun yang cedera ringan dalam kemalangan itu juga dihantar ke Hospital Sungai Buloh bagi mendapatkan rawatan.
Beliau berkata lalu lintas di NKVE, yang sebelum ini sesak akibat kemalangan itu, kembali lancar setelah lori berkenaan dialihkan.
Sementara itu, jurucakap PLUSline berkata aliran trafik di KM19.7 dilaporkan terkawal susulan kejadian lori terbalik di kawasan itu.
“Aliran trafik ketika ini bergerak perlahan dan tiada penutupun lorong dilakukan,” katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.