Junaidi: Bukan pembalakan, tetapi projek TNB di Janda Baik

Junaidi: Bukan pembalakan, tetapi projek TNB di Janda Baik

Wan Junaidi berkata, kerja-kerja teknikal sedang dijalankan Tenaga Nasional Berhad di kawasan itu, bukannya pembalakan.

wan-junaidi--tnb
KUALA LUMPUR:
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini menafikan dakwaan terdapat kegiatan pembalakan tanpa kawalan di Hutan Simpan Kekal Janda Baik di Bentong, Pahang seperti dilaporkan.

Beliau berkata, kerja-kerja teknikal sedang dijalankan Tenaga Nasional Berhad di kawasan itu dan bukannya pembalakan.

“Kami dimaklumkan ada projek sedang dibuat TNB. Ini bukan pasal pencerobohan pembalakan. Kayu balak masih ada lagi di dalam hutan itu,” katanya selepas merasmikan Makmal Ujian Alat Pengesanan Utiliti Bawah Tanah serta Pusat Khidmat Pelanggan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, dan melancarkan Buku Atlas Kebangsaan Malaysia, hari ini.

Laporan mendakwa kononnya pembalakan tanpa kawalan dilakukan di Hutan Simpan Kekal Janda Baik, sejak lebih 20 tahun lepas.

Kegiatan itu didakwa membawa kesan kepada hampir 2,000 penduduk Kampung Janda Baik dengan 5 anak sungai utama tercemar, antaranya Ulu Sungai Benus, Sungai Kuala Lurau dan Sungai Tampik.

Wan Junaidi berkata, kementeriannya masih menunggu keputusan analisis sampel air daripada Jabatan Kimia untuk mencari punca pencemaran air yang mengakibatkan penutupan loji rawatan air (LRA) Semenyih dan gangguan air di Selangor.

Katanya, terlalu awal untuk mengenal pasti jika ia adalah pencemaran daripada sektor perindustrian atau bau busuk dari loji sehingga menyebabkan LRA terpaksa ditutup.

LRA Semenyih ditutup beberapa kali sebelum ini berikutan pencemaran bau sehingga menyebabkan gangguan bekalan air di beberapa kawasan, termasuk Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang dan Petaling.

Menurut laporan, pencemaran itu mungkin berpunca daripada Sungai Lalang di kawasan Perindustrian Teknologi Tinggi Semenyih.

Pautan:

Loji Rawatan Air Semenyih beroperasi semula

Selangor rampas tanah jadi punca pencemaran Sungai Semenyih

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.