
Prof Syed Farid Alatas turut mencadangkan dialog dipertingkatkan antara komuniti Islam dan Hindu di Malaysia di sebalik beberapa insiden seperti serangan ke atas kuil Hindu dan penulisan kontroversi melibatkan buku teks Universiti Teknologi Malaysia (UTM) baru-baru ini.
“Matlamat dialog ini ialah melihat persamaan nilai, kepercayaan dan budaya yang wujud di antara Islam dan Hindu dan mengulangi komitmen kedua-dua komuniti itu untuk saling hidup aman,” kata Farid yang mengetuai Jabatan Pengajian Melayu NUS itu.
Jun lalu, UTM mengakui bahan rujukan dalam modul Tamadun Islam dan Tamadun Asia (Titas) tidak berkredibiliti. Antara lain, ia mendakwa kaum Hindu dan Sikh di India tidak bertamadun sebelum kedatangan Islam ke benua itu.
Farid berkata pendirian sedemikian berlawanan sekali dengan sikap tokoh sejarawan Islam abad ke-10, Abu al-Rayhan Al-Biruni.
Katanya, Al-Biruni ketika di bawah Mahmud Ghaznavi yang memerintah sebahagian utara India, berusaha mendalami bahasa Sanskrit sehingga fasih dan menterjemahkan karya keagamaan India ke dalam bahasa Arab.
“Beliau mengelak daripada menghakimi agama lain daripada kaca mata Islam,” kata Farid, dipetik The Straits Times Singapura.
Katanya, Al-Biruni dalam tulisannya juga sedar akan pentingnya berbicara mengenai India melalui perspektif penduduk tempatan, lalu beliau sering menggunakan rujukan Sanskrit.
“Matlamat beliau mengkaji agama di India ialah untuk merapatkan hubungan antara 2 komuniti itu,” katanya.
Farid berkata Al-Biruni merupakan sarjana pertama dunia yang membuat kajian mengenai agama di India secara objektik tanpa cuba memberi gambaran penduduk India dalam kejahilan.
Beliau berkata sebagai penduduk majoriti, umat Islam di Malaysia mempunyai tanggungjawab mempertahan hak penduduk bukan Islam.
“Ini bermakna golongan elit politik dan agama bukan sahaja perlu menerima kewujudan minoriti bukan Islam tetapi secara aktif mempertahankan hak dan harta mereka,” kata Farid.