Bajet 2017: Peniaga dalam talian mohon hapus cukai perdagangan elektronik

Bajet 2017: Peniaga dalam talian mohon hapus cukai perdagangan elektronik

Majoriti peniaga dalam talian melahirkan kegusaran terhadap pelaksanaan cukai itu yang dianggap membebankan banyak pihak termasuk pembeli.

online-business-tax
PETALING JAYA:
Para peniaga dalam talian berharap kerajaan mempertimbangkan semula pelaksanaan Cukai Perdagangan Elektronik pada pembentangan Bajet 2017, Jumaat depan.

Pada 17 Mei lepas, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata, Kementerian Kewangan sedang mengkaji kemungkinan mengenakan cukai ke atas perniagaan dalam talian pada tahun depan, sejajar kepesatan perkembangan sektor berasaskan Internet di negara ini.

Bagaimanapun, majoriti peniaga menganggap cukai itu terlalu membebankan ramai pihak termasuk pembeli.

FMT berkesempatan menemubual beberapa peniaga dalam talian di sekitar Lembah Klang dan rata-ratanya berdepan dengan masalah sama.

Bagi Azwan Ahmad yang merupakan pemilik butik jubah AisyahDaniel meluahkan kekecewaannya jika cukai itu dilaksanakan.

“Saya mohon diberi pengecualian cukai dagangan terhadap kami kerana kesannya membuat perniagaan terjejas teruk. Apa tidaknya, kami menanggung kos penghantaran dan juga Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST),” katanya.

Azwan yang sudah menjalankan perniagaan dalam talian sejak 2011 amat berharap kerajaan bertimbang rasa dalam hal ini kerana baginya ia tidak menguntungkan rakyat dengan hasil yang dikutip.

Peniaga kosmetik, Rafika Yusof juga mengalu-alukan kerajaan mengkaji semula pelaksanaan cukai itu.

“Walaupun ia masih dalam perbincangan, cukai berkenaan akan memberi kesan kepada mereka yang baru mula berniaga,” katanya.

Rafika juga berharap kerajaan menghapuskan GST dan sekiranya ia gagal dilakukan, mungkin tawaran kemudahan lain boleh diberi.

Bagi Yasmin Ramlan yang menjalankan perniagaan bunga dan kek dalam talian memberitahu dia akur sekiranya cukai ini dikenakan namun mencadangkan pembayaran Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) dinaikkan bagi membantu golongan memerlukan.

“Sebagai peniaga saya faham kami perlu inisiatif lebih untuk merancakkan perniagaan. Jika kerajaan teruskan pelaksanaan cukai ini, saya mencadangkan pemberian BRIM dinaikkan sedikit. Maklum sahaja, sekarang semuanya mahal,” katanya.

Pautan:

Cukai pendapatan niaga dalam talian ikut niaga konvensional

Perniagaan online kurang RM500k tidak kena cukai

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.