Usaha terakhir keluar penjara, Anwar kembali ke Mahkamah Persekutuan

Usaha terakhir keluar penjara, Anwar kembali ke Mahkamah Persekutuan

Peguam Anwar mungkin membangkitkan isu berat sebelah, dengan merujuk kenyataan media Pejabat Perdana Menteri yang dikeluarkan hanya 5 minit selepas keputusan mahkamah tahun lalu.

anwar_law_600
KUALA LUMPUR: Selepas 20 bulan dipenjarakan, bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini kembali ke Mahkamah Persekutuan dalam perbicaraan yang dinanti-nantikan bagi mengetepikan sabitan kes liwat mahkamah itu tahun lalu.

Pemimpin PKR itu memfailkan permohonan semakan itu tidak lama selepas Mahkamah Persekutuan mengesahkan beliau bersalah dan dihukum penjara 5 tahun pada 10 Februari, 2015.

Peguam Bastian Vendargon berkata, Mahkamah Persekutuan boleh menggunakan “bidang kuasa yang wujud tetapi terhad” hanya dalam kes bersesuaian.

Bastian, seorang peguam pakar dalam kes sivil, berkata barisan peguam Anwar perlu meyakinkan panel hakim terlebih dahulu untuk mengetepikan penghakiman 10 Februari itu.

“Peguam beliau perlu memuaskan hati panel hakim yang bidang kuasa terhad boleh digunakan untuk membetulkan ketidakadilan tertentu,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, mereka perlu sama ada menunjukkan terdapat kegagalan kuorum atau penghakiman itu dicemari dengan menyalahi undang-undang, berat sebelah atau prejudis.

Bastian berkata panel hakim boleh memerintahkan mendengar semula rayuan itu di hadapan satu lagi panel Mahkamah Persekutuan, tetapi hanya jika ia dapat diyakinkan dengan hujah dikemukakan peguam bekas timbalan perdana menteri itu.

“Peguam beliau boleh berhujah merit kes itu berdasarkan fakta dan undang-undang, hanya jika penghakiman sebelum ini diketepikan.

“Jika tidak, segala-galanya berakhir bagi Anwar,” kata peguam itu yang merupakan orang pertama memfailkan semakan pada 2000 bagi pihak wartawan veteran, M.G.G. Pillai, yang meninggal dunia pada 2006.

Dalam kes Pillai, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonannya mengetepikan penghakiman RM2 juta dalam kes saman oleh Tan Sri Vincent Tan, yang dianugerahkan RM2 juta.

Bagaimanapun, Pillai meninggal dunia sebelum panel hakim baharu boleh mendengar semula rayuan itu.

Bastian berkata, setakat yang beliau ingati, hanya terdapat segelintir kes sivil di mana mahkamah mengetepikan penghakiman awal dan kemudian mengubah penghakiman sebelumnya.

“Dalam beberapa kes, penghakiman sebelumnya diketepikan, tetapi panel hakim baharu masih mengekalkan penemuan pendengaran bagi merit kes itu.”

Beliau berkata, hanya sekali dalam sejarah ke jenayah di Mahkamah Rayuan penghakiman diketepikan, kerana semua alasan rayuan tidak didengar.

Kes itu membabitkan bekas jurulatih olahraga kebangsaan, C Ramanathan, yang didakwa mencabul 2 atlet junior. Hukuman penjaranya dikurangkan daripada 4 tahun kepada setahun selepas pendengaran semula.

FMT difahamkan, pasukan peguam Anwar mungkin membangkitkan isu berat sebelah, dengan merujuk kenyataan media Pejabat Perdana Menteri yang dikeluarkan hanya 5 minit selepas mahkamah mengekalkan sabitan itu.

Satu lagi alasan yang boleh dibangkitkan adalah pengendalian ad-hoc pendakwa raya Tan Sri Shafee Abdullah, yang menghadiri road show bagi memburukkan Anwar dan peguamnya tidak lama selepas rayuan terakhir berakhir.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Sungai Buloh selepas didapati bersalah meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

Anwar, 69, pada mulanya dibebaskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari 2012.

Mahkamah Rayuan kemudian mengubah keputusan tersebut dan menjatuhkan hukuman penjara 5 tahun pada 7 Mac 2014.

Panel 5 hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Arifin Zakaria, dalam mengekalkan sabitan itu berkata, Saiful adalah seorang saksi yang boleh dipercayai.

Mahkamah juga membuat kesimpulan tiada rantaian bukti yang terputus, seperti didakwa peguam Anwar.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.