
Presidennya Datuk Ibrahim Ali berkata kutipan cukai daripada perniagaan itu mampu memberi pulangan lumayan dan dengan adanya pengutipan cukai berkenaan, kerajaan dapat menumpukan kepada pemberian biasiswa kepada pelajar Melayu.
Katanya, kerajaan perlu menimbangkan cadangan itu kerana cukai yang dikutip daripada perniagaan judi, arak dan pusat hiburan juga sudah lama tidak dinaikkan.
“Sudah tiba masanya kerajaan menaikkan kadar cukai ke atas perniagaan judi, arak dan pusat hiburan yang mampu membantu orang bukan Islam.
“Hasil kutipan cukai itu juga boleh dimasukkan ke dalam Biasiswa Nasional yang baru-baru ini dicadangkan Gerakan,” katanya pada satu sidang media di Ibu Pejabat Perkasa hari ini.
Sehubungan itu, katanya Perkasa mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga menteri kewangan memulakan kutipan cukai itu dalam pembentangan Bajet 2017.
Ibrahim berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Gerakan yang mencadangkan kerajaan mewujudkan Biasiswa Nasional dalam Bajet 2017.
Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong sebelum ini berkata biasiswa bagi membantu pelajar kurang berkemampuan itu boleh dibiayai melalui langkah menaikkan cukai 1% ke atas rakyat Malaysia berpendapatan lebih RM1 juta serta syarikat yang berpendapatan lebih RM300 juta.
Ibrahim berkata parti politik dalam negara ini tidak sepatutnya terlalu mengejar kuasa dan lupa untuk menyelesaikan isu utama terutama mengenai biasiswa.
“Biasiswa kepada rakyat wajar diberi perhatian kerana sampai hari ini isu itu tidak pernah selesai. Kerajaan galak pelajar sambung pelajaran di dalam negara atau luar negara. Tetapi mereka tidak diberi biasiswa.
“Isu pendidikan ini juga satu kepentingan kepada rakyat. Jangan sibuk berpolitik tetapi lupa tentang kemiskinan rakyat dan pendidikan,” katanya.