Cadangan SPR: PAS bimbang terjejas teruk di Terengganu

Cadangan SPR: PAS bimbang terjejas teruk di Terengganu

Cadangan persempadanan semula SPR itu akan menyebabkan PAS kehilangan banyak kerusi termasuk di DUN dalam kawasan Parlimen Marang diwakili Hadi.

mustafar ali
PETALING JAYA: PAS menganggap peluang kemenangannya di Terengganu bakal terjejas teruk sekiranya cadangan persempadanan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilakukan.

Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, cadangan persempadanan semua SPR itu akan menyebabkan PAS kehilangan banyak kerusi terutama di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Marang.

Katanya, PAS paling banyak membuat bantahan di Terengganu.

“Kita nampak ada kepentingan untuk Umno,” kata veteran PAS itu kepada FMT.

Neliau memberi contoh DUN Alor Limbat dalam Parlimen Marang yang diwakili Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menurutnya, di bawah persempadanan baru, peti undi Gelugor di Alor Limbat yang sebelum ini dimenangi PAS dipindahkan ke DUN Wakaf Krai “yang memang kita sudah memang besar”.

Mustafa percaya, ia akan menyebabkan PAS hanya memenangi satu sahaja kerusi di salah satu kawasan berkenaan, dan tidak seperti sebelumnya pada pilihan raya 2013 di mana PAS mendapat majoriti besar di kedua-dua kawasan itu.

“Selalunya 2 kawasan itu kita akan menang. Tetapi kali ini nampaknya SPR hanya mahu satu sahaja kawasan yang menang.”

SPR memaklumkan cadangan persempadanan semula itu dilaksanakan mengikut peruntukan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan.

Semua pihak diberi masa sehingga Jumaat ini mengemukakan bantahan masing-masing.

Mustafa berkata PAS tidak akan melakukan bantahan di semua negeri kerana cadangan persempadanan tidak membawa kesan besar untuk parti Islam itu.

“Hanya ada satu dua sahaja yang kami tidak akan lakukan bantahan seperti Perlis dan Pulau Pinang. Ia kawasan yang tidak banyak sangat berubah pada kita,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya DAP, Ong Kian Ming berkata DAP Selangor akan melakukan bantahan bermula Khamis ini.

Pautan:

Ahli Parlimen pembangkang gesa pengerusi SPR letak jawatan

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.