
Ketua Penerangan DHPP, Dr Balachandran G Krishnan berkata RUU 355 tidak sepatutnya dijadikan isu politik kerana undang-undang tersebut hak orang Islam untuk melaksanakannya, malah bukan Islam tidak perlu turut sama menentangnya.
“Kita boleh terangkan kepada MCA, MIC, DAP dan bukan Islam lain yang masih tidak faham tentang RUU 355. Kita juga boleh jelaskan mengapa dan kenapa RUU 355 perlu dihormati. Kenapa tiba-tiba isu ini menjadi masalah? Adakah ia dibentangkan secara persendirian oleh Presiden PAS (Datuk Seri Abdul Hadi Awang)? Saya rasa perkara ini dipolitikkan pihak tertentu untuk menggagalkannya.
“Kita boleh ajar mereka sebab kita (DHPP) ditarbiah (diajar) mengapa perlunya kita menyokong RUU 355 ini. Kita nak pastikan orang bukan Islam faham dan menghormati agama lain sama seperti kita mahu orang hormat agama kita,” katanya kepada FMT.
Sementara itu, Pengerusi DHPP, P.Balasubramaniam berkata pihaknya menjelajah hampir seluruh negara menjelaskan kepada bukan Islam supaya mereka benar-benar faham.
“Setakat ini sudah banyak tempat kami pergi untuk beri penerangan kepada kaum India dan Cina. Mereka boleh menerima cuma sedikit masalah bagi kaum Cina, tetapi selepas diberi penerangan mereka mula terima. Dalam DHPP juga tidak ada seorang ahli menolak RUU355,” katanya.
Banyak pihak termasuk pemimpin politik menentang perlaksanaan RUU 355, terbaharu sebuah badan NGO menerusi satu forum sebagai berkata, punca bukan Islam membantah kerana rekod yang buruk.
Sementara itu, Presiden Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid mengakui sesi penerangan RUU 355 perlu dipertingkatkan kerana ramai masyarakat terutamanya bukan Islam belum memahami tujuan ia diperkenalkan.
“Setakat ini lebih 20 NGO Islam aktif memberi penerangan dan menjelaskan dengan fakta tentang perlaksanaan akta itu, malah sehingga kini hanya 30% maklumat serta penerangan disampaikan kepada masyarakat dan angka tersebut masih kecil.
“NGO Islam perlu agresif menyampaikan fakta melibatkan semua lapisan masyarakat supaya mereka tidak keliru. Kalau bukan Islam tidak setuju, kita faham asalkan ia tidak menimbulkan salah faham,” katanya.
Pautan:
http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2014/02/08/mapim-kecam-ngo-islam-ancam-pemimpin-dap/