
Daripada jumlah itu, penyelidik menjangkakan 12 juta kanak-kanak menghidap gangguan toleransi glukosa, 27 juta mengalami tekanan darah tinggi dan 38 juta akan menghidap steatosis hepatik atau lemak dalam hati bagi tempoh kurang 10 tahun akan datang.
Pensyarah Pemakanan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Dr Hayati Mohd Yusof berkata di Malaysia sendiri, peningkatan 40% direkodkan dalam kes obesiti dalam kalangan kanak-kanak.
Beliau berkata lambakan makanan segera di pasaran membuatkan kanak-kanak pada masa kini lebih cenderung mengambil makanan seperti sosej dan burger kerana ia mudah dan cepat siap.
Malah, katanya harga makanan segera kadangkala lebih murah berbanding nasi dan keadaan itu menjadi faktor kes peningkatan obesiti kanak-kanak.
“Kalau dulu kita didedahkan dengan masalah kanak-kanak kurang zat, kini kanak-kanak seawal 5 tahun mempunyai masalah berat badan berlebihan dan antara punca yang dikenal pasti ialah pengambilan makanan tidak sihat,” katanya kepada FMT.
Dr Hayati berkata semua sekolah di setiap negeri perlu lebih peka dalam masalah obesiti kanak-kanak yang dianggap semakin serius.
“Memang ibu bapa perlu memantau pengambilan makanan anak namun kini kanak-kanak lebih banyak menghabiskan masa di sekolah.
“Pihak sekolah harus lebih peka dengan apa yang dijual di kantin dan di sekitar kawasan sekolah,” katanya.
Pada masa sama, katanya ibu bapa perlu prihatin dengan memastikan anak tidak mengambil makanan karbohidrat dan berkanji dalam jumlah banyak.
“Sebanyak 80% kes kanak-kanak obesiti akibat mengikut tabiat makan kurang sihat seperti dilakukan ibu bapa mereka.
“Apabila sudah obes, kanak-kanak cenderung untuk terus makan kerana mereka memerlukan lebih tenaga untuk bergerak,” katanya.
Dr Hayati berkata kanak-kanak lebih mudah dipengaruhi mengikuti rutin program penurunan berat badan jika ibu bapa turut mengambil bahagian.
“Penting bagi kanak-kanak mengikuti pelan aktiviti senaman atau fizikal yang sesuai dengan peratusan lemak badan yang disasarkan untuk dibuang.
“Lemak penting untuk mendapatkan tenaga namun pengambilan lemak berlebihan akan menyebabkan 90 hingga 95% daripadanya disimpan sebagai lemak di dalam badan,” katanya.
Katanya, bagi mengatasi masalah obesiti yang melibatkan kanak-kanak, Kementerian Kesihatan sering mengadakan pelbagai aktiviti di sekolah seperti program Doktor Muda.