Cukai minuman bergula perlu jelas

Cukai minuman bergula perlu jelas

Fomca gesa kerajaan perjelaskan bagaimana implementasi bakal dilakukan, sama ada semua minuman bergula atau kadar gula tertentu sahaja yang akan dikenakan cukai.

Free Malaysia Today
PETALING JAYA : Jabatan Kastam Diraja Malaysia atau Kementerian Kesihatan Malaysia perlu mengeluarkan satu garis panduan berhubung peratus gula yang akan dikenakan cukai sekiranya cadangan mengenakan cukai terhadap minuman bergula menjadi kenyataan.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, sekiranya kandungan terhadap minuman bergula itu melebihi garis panduan yang dibuat, seseorang itu boleh dikenakan cukai.

“Sebab kita tahu sebahagian besar minuman yang dikilangkan memang bergula. Cuma perlu diperjelaskan kaedah bagaimana, sama ada semua minuman bergula atau kadar gula tertentu yang dikenakan cukai.

“Tujuannya supaya para pengeluar mengurangkan kandungan gula dengan harapan tidak perlu dikenakan cukai,” katanya kepada FMT.

Pada Jun lalu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, cadangan mengenakan cukai terhadap minuman bergula masih dibincangkan di peringkat kementerian dan sebarang keputusan bertujuan memberi kesan baik kepada kesihatan rakyat.

Pada 9 Oktober pula, Yang Dipertua Pertubuhan Doktor Islam Malaysia (Perdim) Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail berkata, cadangan kerajaan mengenakan cukai minimum ke atas minuman bergula diimport atau diproses di kilang tempatan adalah langkah praktikal bagi mengawal pengambilan gula di kalangan rakyat.

Beliau berkata, pertubuhan itu percaya cadangan berkenaan adalah langkah jangka panjang berterusan bagi menghindari penyakit akibat pengambilan gula berlebihan seperti kencing manis.

Dalam pada itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan pula berpendapat cadangan itu dikhuatiri menyebabkan harga barang lain dan kos sara hidup meningkat.

“Sepatutnya ada peruntukan untuk memberitahu rakyat jangan makan banyak gula kerana ia tidak sihat, barulah ia lebih munasabah. Kalau orang dah ketagih gula, setakat minuman nak naik, ia tidak akan memberi kesan kepadanya untuk mengurangkan pengambilan minuman bergula,” katanya.

Pautan berita :

Cukai minuman bergula boleh didik rakyat hargai kesihatan, kata pertubuhan doktor

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.