PAS terus ikut panduan yang ditetapkan Haron Din, kata Mursyidul Am baharu

PAS terus ikut panduan yang ditetapkan Haron Din, kata Mursyidul Am baharu

Mereka yang mahukan sokongan PAS perlu menghormati dasar perjuangan Islam partinya, tegas Hashim Jasin

hashim-jasin-pas
PETALING JAYA:
Mursyidul Am baharu berkata PAS akan terus mengikut panduan politik yang ditetapkan penasihat terdahulu, Datuk Dr Haron Din.

Hashim Jasin menjelaskan tidak ada keperluan untuk beralih arah kerana panduan yang tersedia selaras dengan perjuangan Islam partinya, termasuk soal kerjasama dengan parti politik lain.

“Kita akan bekerjasama dengan siapa sahaja berdasarkan tahaluf (persefahaman), asalkan tidak bertentangan dengan prinsip PAS dan tidak melanggar hukum tuhan,” katanya ketika dihubungi FMT.

Jawapannya itu menjawab sebarang spekulasi hala tuju PAS. Hashim diangkat menjadi mursyidul am baharu menggantikan Haron yang meninggal dunia pada September 15.

PAS dibawah nasihat Haron menyaksikan kerjasama dengan seteru lama, Umno. Pendekatan itu berbeza dengan pendekatan antagonistik di era Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini berkata PAS hanya akan bekerjasama dengan parti yang bersetuju dengan perjuangan Islam bawaannya.

tajuk kecil: PAS tidak akan bergabung dengan Umno

Namun satu perkara yang jelas, katanya, PAS tidak akan bergabung dengan Umno.

“PAS tidak akan bekerjasama dengan Umno (ke arah penggabungan). Presiden (Hadi) menetapkan pendirian yang kemas dan kuat dalam perkara ini, dan pendirian saya sama: kita tidak akan bergabung dengan Umno,” tegasnya.

Mengenai cadangan semua parti pembangkang bersetuju untuk satu lawan satu menentang Umno dan BN pada pilihan raya akan datang, Hashim berkata masih terlalu awal untuk diputuskan.

“Kajian PAS Pusat berhubung tahaluf dan keadaan politik mutakhir ini belum dibincangkan secara mendalam. Kajian itu akan dibincangkan pada mesyuarat akan datang dan saranan akan dimaklumkan kepada Majlis Syura Ulama untuk diputuskan,” jelasnya.

tajuk kecil: Tidak perlu sertai Bersih kalau merugikan PAS

Mengenai pembabitan dalam Bersih 5.0 yang akan berhimpun demi reformasi institusi dan mendesak peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 19 November depan, Hashim berkata PAS tidak sertai acara itu sekiranya tidak menguntungkan parti.

“Bagaimanapun bergantung kepada keputusan muktamad parti yang akan diputuskan nanti. Mungkin terlalu awal untuk saya buat keputusan,” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata PAS tidak akan menyertai tunjuk perasaan itu kerana Bersih 5 mempunyai banyak matlamat lain yang dirasakan tidak selari dengan pendekatan parti.

Pautan:

Hashim Jasin mursyidul am PAS

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.