Lelaki pukul warga emas jagaannya didenda RM4,000

Lelaki pukul warga emas jagaannya didenda RM4,000

M Sehgar mengaku besalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan dan tidak mendaftarkan pusat jagaan kendaliannya

m-sehgar
MELAKA:
Seorang lelaki pengendali pusat jagaan warga emas didenda berjumlah RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas 2 pertuduhan masing-masing menyebabkan kecederaaan terhadap seorang warga emas dan tidak mendaftarkan pusat jagaan kendaliannya.

Majistret Analia Kamaruddin menjatuhi hukuman denda RM2,000 atau penjara 12 bulan atas pertuduhan menyebabkan kecederaan; dan RM2,000 atau penjara 3 bulan kerana tidak mendaftarkan pusat jagaan, ke atas M Sehgar setelah tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Sehgar, 56, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Wong Yoke Chan, 75, dengan menggunakan tangan di Pusat Jagaan All Mighty Old Folks Home, di Jalan Klebang Besar di sini pada pukul 3 petang, 18 Ogos lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh di tempat yang sama pada tahun 2013 didakwa tidak mendaftarkan pusat jagaan dengan cara sah dan didakwa mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pusat Jagaan 1993 memperuntukkan hukuman penjara maksimum 2 tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Ketika menjatuhi hukuman pertuduhan mencederakan warga emas itu, Analia berkata Sehgar sepatutnya berperanan menjaga warga emas itu dengan sebaik-baiknya.

“Kamu sedar kamu pukul itu warga emas yang tiada tenaga untuk melawan…apa yang kamu buat tidak berperikemanusiaan,” katanya.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa ASP Nora Yaacob manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

https://www.youtube.com/watch?v=O7TRGq9yiJI

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.