
“Saya tidak akan tarik diri daripada pemilihan, tidak akan hampakan penyokong saya,” tulis calon Republican itu dalam Twitternya, petang semalam.
Rakaman video itu adalah tamparan terbaharu buat Trump yang berharap dapat menghidupkan kembali kempen presidennya, selepas kemerosotan sokongan dalam tinjauan pendapat baru-baru, kurang sebulan menjelang pemilihan itu.
Trump dijangka muncul bersama calon Democrat, Hillary Clinton, menerusi debat ke-2, hari ini.
Rakaman video pada 2005 itu menunjukkan bintang televisyen rancangan realiti ketika itu bercakap mengenai perbuatan meraba wanita dan cuba menggoda isteri orang.
Video itu dirakamkan beberapa bulan selepas Trump mengahwini isteri ketiganya, Melania.
Kempen presiden Trump kini dilanda krisis, apabila isteri beliau dan calon naib presidennya, Mike Pence tersinggung dengan kenyataan 11 tahun lalu itu.
Melania dalam satu kenyataan menyifatkan komen suaminya “tidak boleh diterima dan menyinggung perasaan saya.”
“Ini tidak mewakili lelaki yang saya kenal. Dia mempunyai hati dan pemikiran seorang pemimpin. Saya harap orang ramai dapat menerima permohonan maafnya seperti saya dan memfokuskan isu penting dihadapi negara dan dunia.”
Pence melalui Twitternya berkata, beliau tidak boleh mempertahankan Trump.
“Sebagai seorang suami dan bapa, saya tersinggung dengan kata-kata dan tindakan Donald Trump,” kata gabenor Indiana itu yang berikrar akan terus menyokong beliau, walaupun beberapa pemimpin Republican mendesak Trump menarik diri dan Pence menggantikannya.
Lebih 60 bekas dan pemimpin utama Republican mengutuk kenyataan lucah Trump mengenai wanita, termasuk Speaker Dewan Perwakilan, Paul Ryan dan bekas calon presiden pada 2008, John McCain.
Lebih 20 pemimpin Republican turut mendesak Trump menarik diri daripada pemilihan presiden, walaupun selepas beliau memohon maaf.
“Sesiapa yang mengenali saya, tahu kata-kata ini tidak menggambarkan diri saya. Saya pernah buat kenyataan itu, saya silap dan saya mohon maaf,” kata Trump dalam rakaman video yang dimuat naik ke Facebooknya, semalam.
Trump menerusi rakaman video pada Sabtu itu turut memaklumkan beliau sudah berubah dan cuba mengalih perhatian kepada lawannya, Clinton dan suaminya yang juga bekas Presiden, Bill Clinton.