
Wakil Kementerian Pelancongan Indonesia, Muhammad Shafie Obet berkata Indonesia ialah negara yang mampu dilawati semua golongan, sama ada berpendapatan tinggi atau rendah.
“Biarpun kita berdepan dengan suasana ekonomi agak perlahan ketika ini, kemasukan jumlah pelawat masih di tahap memberangsangkan.
“Kuasa membeli mungkin tidak sehebat dulu tetapi melancong ialah gaya hidup. Majoriti rakyat Malaysia khususnya generasi Y akan menabung atau membuat sedikit peruntukan untuk melancong sekurang-kurangnya sekali dalam setahun,” katanya.
Generasi Y ialah mereka yang lahir pada zaman 1980-an dan kini berusia 30-an.
Beliau berkata rakyat Malaysia antara penyumbang terbesar dalam industri pelancongan di Indonesia, malah menjadikan republik itu negara ketiga yang menjadi pilihan selepas Singapura dan China.
“Sepanjang tahun lalu, Indonesia menerima 1.3 juta pelancong Malaysia dan menyasarkan 2 juta rakyat Malaysia berkunjung ke sana pada tahun ini,” katanya ketika ditemui di Pejabat Wonderful Indonesia di Wisma MPL, di sini baru-baru ini.
Beliau berkata sehingga Ogos lalu, Indonesia menerima hampir 900,000 pelawat rakyat Malaysia dan jumlah itu agak menurun berbanding tempoh sama tahun lalu.
Secara purata, rakyat Malaysia membelanjakan AS$130 (RM520) sehari sepanjang berada di Indonesia dan ia bergantung kepada pilihan individu sendiri
Shafie berkata lokasi kegemaran rakyat Malaysia di sana ialah Jakarta, Bandung, Bali dan Makasar tetapi Indonesia sebenarnya mempunyai banyak lagi pulau indah yang belum dikenali ramai.
“Antaranya ialah Pulau Komodo yang terkenal sebagai habitat biawak komodo. Dihuni sekitar 2,000 penduduk dengan keluasan 390 km persegi dan pulau ini memiliki keistimewaan seperti di Pulau Raja Ampat dan Lombok.
“Komodo termasuk dalam rantaian pulau Sunda Kecil dan merupakan sebahagian daripada Taman Negara Komodo,” katanya.
Indonesia juga memiliki 17,000 pulau dan 6,000 daripadanya masih tidak berpenghuni. Negara itu menjadi antara destinasi menarik di dunia kerana keunikan dan kepelbagaian budayanya.