Shahruddin: Tiada ahli Umno Johor akan lompat ke PPBM

Shahruddin: Tiada ahli Umno Johor akan lompat ke PPBM

Shahruddin berkata, beliau tidak memujuk atau mempelawa ahli Umno lain untuk menyertai PPBM.

Shahruddin Md Salleh
PETALING JAYA: Tidak ada ahli atau pemimpin Umno Johor akan melompat ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) lagi, kata Datuk Shahruddin Md Salleh.

Setiausaha agung PPBM yang baru dilantik itu berkata, beliau meninggalkan Umno dengan berat hati dan percaya tiada lagi ahli atau pemimpin parti itu yang akan berpaling tadah.

“Mungkin ada khabar angin mengenainya, tetapi secara jujurnya, saya tidak fikir akan ada yang melompat parti. Saya tidak memujuk atau mempelawa mereka untuk sertai kami,” katanya dipetik NST Online.

Shahruddin, 60, ialah adun Jorak selama 2 penggal dan bekas setiausaha politik kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini menjadi Presiden PPBM.

Tindakannya meletak jawatan sebagai naib ketua Umno Bahagian Pagoh, pada 4 Julai lalu, untuk membantah pemecatan Muhyiddin dalam parti itu, menjejaskan majoriti dua pertiga yang dimenangi BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor sejak negara mencapai kemerdekaan.

Kini, BN hanya mempunyai 37 kerusi, manakala pembangkang pula memiliki 19 kerusi DUN.

 

Shahruddin berkata, BN akan terus menikmati majoriti “selesa, selamat dan baik” di DUN, walaupun tanpa beliau sebagai wakil rakyat parti pemerintah.

Beliau berkata, keahlian Umnonya dibatalkan secara automatik mengikut perlembagaan parti, selepas menerima pelantikan setiausaha agung PPBM.

Pautan:

‘Pecat Muhyiddin ada risiko, tetapi tiada pemimpin akan ikut jejak adun Jorak’

Bekas setpol Muhyiddin dilantik Setiausaha Agung PPBM

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.