
Tunku Mona Riza juga berharap Redha yang berkisar mengenai cabaran dan perjuangan sepasang suami isteri mendidik anak autisme itu, dapat diberi peluang ditayangkan di pawagam seluruh negara sekali lagi sebagai tanda sokongan terhadap filem berkenaan.
“Saya berharap dapat peluang ke-2 untuk menayangkan naskah yang cukup istimewa ini,” katanya kepada FMT.
Redha yang ditayangkan pada 14 April lalu, diumumkan akan mewakili negara untuk dipertimbangkan sebagai calon berpotensi bagi kategori Filem Bahasa Asing Terbaik untuk merebut Anugerah Oscar.
“Akhirnya filem yang mewakili suara keluarga yang mempunyai anak autisme didengari. Saya terkejut dan dalam masa sama berharap filem ini mendapat tempat di anugerah berkenaan.
“Keputusan sama ada filem ini berjaya tercalon di Oscar akan diketahui sekitar November atau Disember ini,” katanya.
Kenapa pilih filem kemasyarakatan?
Ketika ramai penggiat seni mengetengahkan filem santai untuk mendapatkan pulangan berganda, Tunku Mona memutuskan tema kemasyarakatan sebagai karya sulungnya yang dihasilkan pada 2013, selepas menemui kenalan lama yang mempunyai 2 anak autisme.
“Saya mengenali Mr Yong dalam tempoh agak lama, tetapi setelah sekian lama baru saya dapat tahu anak-anaknya seorang yang ‘istimewa’.
“Saat bertemu dengan adik Yong Wei Xiang dan Yong Wei Jie, saya sendiri mempersoalkan kemampuan sama ada mampu atau tidak sekiranya dikurniakan anak menghidap autisme. Ramai di antara kita yang tidak memahami maksud sebenar autisme.
“Jika dilihat pada mata kasar, kanak-kanak ini nampak normal, namun terdapat masalah dengan perhubungan sosial, komunikasi emosi, berkaitan dengan minat, aktiviti dan perangai,” katanya.
Tunku Mona juga terkejut melihat layanan masyarakat terhadap penghidap austime di tempat awam, ketika membawa pelakon, Harith Haziq dan Izzy Reef menemui Wei Xiang untuk mendalami wataknya sebagai anak autisme.
“Kadang-kadang keluar makan, Wei Xiang tiba-tiba ketuk meja, Izzy dan Harith Haziq pun ikut juga. Apabila itu berlaku, saya perhatikan orang.
“Saya nampak 1 pasangan di meja berhampiran. Mereka pasangan muda dan meminta pelayan dapatkan meja lain kerana bising dan berkelakuan tidak baik.”
Mereka turut dihalau dari sebuah pasar raya terkemuka, kerana bimbang mengganggu keselesaan pengunjung lain.
Didik masyarakat melalui Redha
Tunku Mona berkata, penghidap autisme berhak dilayan seperti manusia biasa dan pembikinan filem ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penyakit berkenaan dan tidak memperlekehkan bakat pesakit.
“Walaupun mereka kelihatan tidak sensitif seperti menunjukkan sebarang ekspresi muka ketika bercakap, mereka juga manusia yang berhak mendapat perhatian seperti individu normal.
“Pendekatan tradisional menghukum anak tanpa mengambil kira punca tidak boleh digunakan kerana lama-kelamaan mereka akan lali dengan hukuman. Sebaliknya, cuba fahami apa yang cuba disampaikan melalui perlakuan,” katanya.
Berilhamkan kisah benar, Redha memaparkan kehidupan sepasang suami isteri, Alina dan Razlan membesarkan anak mereka, Danial yang menghidap autisme.
Hubungan kekeluargaan menjadi dingin kerana Razlan tidak dapat menerima realiti itu, tetapi ketabahan Alina dan naluri ibunya berjaya membantu mereka melalui detik sukar ketika membesarkan Danial.
Dibantu adik dan teman rapatnya, mereka menemui cara tersendiri untuk membesarkan Danial, sehinggalah kemalangan tragis menyebabkan keluarga terbabit terpaksa dibina semula.
Selain Harith dan Izzy, Redha turut dibintangi Nam Ron, June Lojong, Nadiya Nisaa, Remy Ishak, Ruminah Sidek dan Susan Lankester.
Lebih 80 negara dijangka menghantar calon untuk dipertimbangkan dalam kategori Filem Bahasa Asing Terbaik dan 5 filem akan diumumkan sebagai calon rasmi bagi kategori itu untuk merebut Anugerah Oscar yang dijadual berlangsung di Teater Dolby, Hollywood pada 26 Februari 2017.
Pautan video:
Pautan berita: