Amanah dan PAS politikkan Islam, kata MCA

Amanah dan PAS politikkan Islam, kata MCA

Ti Lian Ker berkata, Amanah sama dengan PAS kerana menggunakan agama demi kepentingan politik, walaupun dengan cara lebih "bijaksana dan lembut".

ti lian ker
PETALING JAYA: Ahli politik perlu menghentikan budaya ingin menjadi jaguh dan menggunakan Islam sebagai alat mereka untuk mencapai kepentingan parti sendiri, kata pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA.

Datuk Seri Ti Lian Ker ketika mengulas cadangan balas Amanah terhadap Rang Undang-undang Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) yang diusulkan presiden PAS berkata, ahli politik kini memperluaskan politik berasaskan bangsa kepada agama.

“Semua agama adalah suci dan perlu dihormati. Kita perlu berhati-hati tidak mencampur adukkan agama dengan politik,” katanya kepada FMT.

Ahli jawatankuasa pusat MCA itu berkata, Amanah sama dengan PAS kerana menggunakan agama demi kepentingan politik, walaupun dengan cara lebih “bijaksana dan lembut”.

“PAS bergerak laju dalam ‘lorong’ politik Islam. Amanah mungkin mengekori dengan berhati-hati tetapi akhirnya mereka berdua sama, kedua-duanya menggunakan agama untuk kepentingan politik dan kuasa.”

Rabu lalu, Amanah mendakwa cadangan balas mereka akan mendapat sokongan ahli Parlimen bukan Islam.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad mempersoalkan sama ada Datuk Seri Abdul Hadi Awang sekadar bermain politik, ketika ahli Parlimen Marang itu mengusulkan rang undang-undang persendirian di Parlimen, pada Mei lalu.

Ti bagaimanapun berkata, Amanah melakukan perkara sama dengan cadangan balas mereka.

“Kita perlu beralih daripada mempolitikkan Islam dan lebih menitik berat serta menumpukan kebajikan, pembangunan masyarakat dan kemanusiaan.

“Jika mereka kata Hadi bermain politik, maka perkara sama boleh dikatakan tentang mereka. Kita perlu lebih banyak perbincangan tidak menonjol, jika ada keikhlasan,” kata jurucakap MCA itu.

Sementara itu, Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang, Zairil Khir Johari memuji cadangan balas Amanah yang membuktikan rang undang-undang persendirian Hadi “cacat dan cetek”.

“Saya rasa cadangan Amanah lebih masuk akal. Mereka menunjukkan sistem Mahkamah Syariah mempunyai banyak bidang yang perlu diperbaiki dan jika PAS ikhlas memperkasakan Mahkamah Syariah, maka mereka perlu fokus kepada cadangan membina, bukan sekadar memikirkan tindakan punitif,” katanya.

Beliau berkata, kualiti rang undang-undang persendirian dicadangkan ahli Parlimen veteran dan presiden parti Melayu ke-2 terbesar di negara ini “mengejutkan”.

“Ia adalah rang undang-undang yang tiada perbezaan sedikit pun, tidak menangani masalah dan tiada penyelesaian praktikal.

“Saya percaya rakyat Malaysia kini boleh melihat perbezaan diberikan sesetengah parti berbanding yang lain. Cadangan pembaharuan Amanah sekurang-kurangnya masuk akal, manakala rang undang-undang cek kosong yang dicadangkan Hadi tidak sesuai dengan badan perundangan persekutuan kami.”

Rabu lalu, Amanah mencadangkan penubuhan sebuah jawatankuasa khas terdiri daripada ketua hakim Mahkamah Syariah dari setiap negeri, golongan profesional, agamawan serta pihak berkuasa berkaitan.

Jawatankuasa khas itu akan bertanggungjawab menyelia pemerkasaan Mahkamah Syariah, termasuk meningkatkan kecekapan hakim dan kakitangan, kefahaman dan sokongan institusi, jabatan kerajaan dan pihak swasta ke arah peranan Mahkamah Syariah, menilai semula skim gaji hakim serta kakitangan dan keberkesanan had serta jenis hukuman mahkamah itu.

Pautan:

Amanah kemuka cadangan balas kepada usul Hadi

Badan peguam Islam mahu lebih kuasa untuk Mahkamah Syariah

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.