Selang sehari jadi tuan rumah, Rizal bidas DAP

Selang sehari jadi tuan rumah, Rizal bidas DAP

Pembantu kepada isteri perdana menteri kesal dengan sikap berdolak-dalik wakil rombongan DAP ke Permata yang dikatakan tidak memenuhi syarat ditetapkan pihaknya.

Rizal-Mansor_permata_yeo-bee-yin_600
PETALING JAYA:
Selepas sehari selesai melawat tadika kelolaan Pusat Anak Permata Negara (Permata), pembantu kepada isteri perdana menteri membidas rombongan pemimpin DAP yang hadir.

Datuk Rizal Mansor hari ini berkata, bukan DAP sahaja yang inginkan penjelasan dan ketelusan sesuatu perkara kerana pihak lain juga berhak menuntut perkara yang sama daripada mereka.

Menurut beliau, kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Damansara Utama, Yeo Bee Yin serta pemimpin DAP lain melawat Permata semalam membuktikan pemimpin parti itu sedia menerima syarat dinyatakan sebelum ini supaya menjelaskan kontroversi mengenai terowong dasar laut di Pulau Pinang selepas lawatan.

Bagaimanapun, rombongan DAP yang datang tidak bertindak sebagaimana yang dijanjikan dengan hanya menyerahkan 10 muka surat kertas jawapan tanpa sebarang penjelasan wajar.

“Sekali lagi saya ingin menegaskan DAP tidak ada monopoli dalam mencari ketelusan. Saya juga nak maklum syarat yang saya letakkan adalah YB Yeo perlu membuat sidang media menjelaskan isu-isu yang saya bangkitkan.

“Kehadiran YB Yeo dan rakan-rakan membuktikan mereka menerima syarat yang saya nyatakan. Namun begitu, semalam YB Yeo hanya menyerahkan kertas 10 muka surat kepada saya tanpa sebarang penjelasan (berhubung isu terowong dasar laut dan ketelusan pentadbiran kerajaan DAP) di Pulau Pinang,” katanya kepada FMT.

Rizal dalam masa sama turut mengulas setegah laporan media yang didakwa tidak telus dalam laporan apabila menyalahkan Permata tidak membuat penjelasan kepada Adun DAP khususnya melibatkan laporan audit pusat kelolaan Datin Seri Rosmah Mansor.

Katanya, program yang dianjurkan Permata semalam bukannya pembentangan laporan audit sebaliknya sesi penerangan serta kejayaan Permata.

“Apa yang dibentangkan semalam ialah perbelanjaan program Permata dan bagaimana ia diagihkan. Sesi semalam bukan satu sesi pengauditan akaun.

“Sebagai agensi persekutuan, akaun Permata diteliti penuh oleh Jabatan Audit Negara yang juga dimasukkan kepada laporan setiap tahun. Untuk makluman, Permata tidak mengaudit dirinya sendiri,” katanya.

Selain Yeo, antara pemimpin DAP yang turut serta taklimat Permata semalam, Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh; Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Meng dan Adun dari Pulau Pinang Yap Soo Huey manakala Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad dan Ketua Wanita MCA Datuk Heng Seai Kie mewakili Barisan Nasional.

Pautan:

DAP masih persoal ketelusan selepas rombongan ke Permata

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.