Awas laman kumpul derma untuk pengganas, kata polis

Awas laman kumpul derma untuk pengganas, kata polis

Polis mendapati ramai rakyat Malaysia menyalurkan derma dengan niat baik, tanpa mengetahui wang itu digunakan bagi membiayai serangan di seluruh dunia.

Free Malaysia Today
KUALA LUMPUR: Seorang pegawai polis dari Jabatan Jenayah Komersil semalam memberi amaran kewujudan laman web yang kononnya mahu mengumpul derma orang ramai bagi membantu keluarga miskin dan rakyat Palestin, sebaliknya ia bertujuan menyumbang dana kepada kumpulan pengganas.

Foo Wei Min berkata dana tersebut digunakan bagi membantu keluarga anggota kumpulan pengganas yang ditinggalkan di Malaysia, dan juga bagi membiayai serangan bunuh diri di Syria dan Iraq.

“Mereka menggunakan rasa simpati orang ramai mengumpul dana dengan mendakwa ia bagi tujuan kebajikan dan membantu keluarga Islam yang miskin.

“Itu caranya mereka meraih kepercayaan orang ramai,” kata Foo bercakap pada Persidangan Jenayah Kewangan dan Membiayai Keganasan Antarabangsa (IFCTF) 2016 semalam.

Foo berkata wang yang dikumpul kemudiannya disalurkan menerusi bank dalam amaun kecil bagi mengelak sebarang syak daripada pihak berkuasa.

Katanya, sebelum ini polis pernah mengenal pasti laman seperti Rakyat Malaysia Bersama Negara Islam dan RevolusiIslam.com digunakan sebagai saluran mengumpul dana.

“Tetapi ada juga laman sosial digunakan mengumpul dana,” katanya.

Dalam ucapannya, Foo berkata polis mendapati ramai rakyat Malaysia menyalurkan derma dengan niat baik, tanpa mengetahui wang itu digunakan bagi membiayai serangan di seluruh dunia.

Seorang lagi yang berucap pada IFCTF, Prof Rohan Gunaratna dari S Rajaratnam School of International Studies di Singapura, menceritakan tentang pelajar yang melanjutkan kursus perubatan ke London tetapi kemudian terpengaruh dengan dakyah Islam radikal sehingga ada yang menjadi penyerang berani mati.

“Mereka bukan calang calang orang dari keluarga miskin,” katanya.

“Ia menunjukkan golongan kelas pertengahan juga dipengaruhi kumpulan radikal ini.”

Beliau turut mendakwa wilayah bergolak selatan Filipina turut menjadi pusat merekrut pengganas.

“Mereka menggunakan aplikasi Telegram yang mempunyai khidmat pesanan sulit, menyukarkan penguatkuasa undang-undang mendapatkan akses maklumat,” kata Rohan.

Rohan memberitahu persidangan yang kebanyakannya dihadiri mereka yang terlibat dalam industri perbankan supaya tidak menolak kemungkinan transaksi wang dalam amaun kecil tidak digunakan bagi tujuan jenayah.

“Pengganas tidak ada wang. Mereka mengumpul dana menggunakan pelbagai saluran dan menghantar dalam amaun kecil.”

Seorang pendakwa raya dari Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, John Shipley, menasihati bank memantau akaun yang sering menerima transaksi kecil, di samping pemalsuan identiti.

“Transaksi sebegini susah dikesan. Tetapi sekiranya wang dihantar ke tempat terpencil di mana keganasan berlaku, bank perlu memantaunya.”

Katanya, satu cara menangani pembiayaan keganasan adalah dengan memudahkan akses maklumat mengenai pelanggan.

Di AS, katanya, pihak berkuasa boleh menghantar email atau faks kepada pihak yang bertanggungjawab bagi mendapatkan maklumat mengenai kegiatan jenayah dan butiran kad kredit seseorang pelanggan.

Polis Malaysia sehingga kini menahan lebih 200 orang, termasuk 27 warga asing, atas tuduhan terlibat dengan kumpulan pengganas.

Kerajaan juga membatalkan pasport 68 orang yang meninggalkan negara bagi menyertai kumpulan militan IS.

Lebih 110 rakyat Malaysia dipercayai menyertai IS di Syria, manakala 21 disahkan terbunuh dalam pertempuran.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.