
Pertubuhan agama di Singapura sedang mengkaji semula tahap keselamatan di tempat-tempat ibadat di negara itu.
Tindakan ini adalah susulan inisiatif negara berkenaan untuk mempersiapkan penduduknya terhadap sebarang kemungkinan serangan pengganas.
Gereja Katolik Archdiocese, Hindu Endowments Board, dan Majlis Agama Islam Singapura (Muis) serta Persekutuan Buddha Singapura sudah mengambil semua langkah keselamatan yang aktif pro di premis mereka, selaras dengan inisiatif SGSecure itu.
Malah pihak Gereja Katolik bertindak lebih terkehadapan dengan mewujudkan Pasukan Petugas Kecemasan Archdiocesan bagi merumuskan satu tindak balas berpusat.
Ini termasuk latihan dan kemahiran kecemasan serta menambah baik prosedur operasi standard.
Pergerakan kebangsaan SGSecure, dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada bulan lepas, bertujuan memastikan semua rakyat Singapura terlibat dalam usaha memerangi keganasan.
Kata jurucakap Pejabat Ketua Biskop Katolik Andre Ahchak: “Apa yang kami lakukan adalah selaras dengan seruan kerajaan kepada semua rakyat, sama ada Katolik atau tidak. Semua perlu bersedia menangani keadaan kecemasan yang mungkin timbul. Ia adalah tugas kami mengkaji semula dan meningkatkan persediaan sebagai sebuah organisasi serta melihat bagaimana kita boleh bekerjasama dengan agensi-agensi awam untuk melindungi semua anggota masyarakat di samping melatih rakyat menangani suasana kecemasan.”
Dipimpin Ketua Biskop William Goh, Roman Catholic Archdiocese of Singapore menyelia 360,000 penganut Katolik dan mempunyai 31 gereja di 5 daerah di Singapura.
Pada masa ini, semua gereja persendirian digalakkan menghubungi Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) di kawasan mereka untuk memastikan rancangan pemindahan kecemasan bagi penganut mereka.
Namun, penyelarasan bersepadu daripada badan pusat Archdiocese – bekerja dengan agensi-agensi seperti SCDF dan Pasukan Polis Singapura – akan mengukuhkan langkah-langkah keselamatan, kata Ahchak.
Penganut Katolik dan sukarelawan pemimpin masyarakat Lionel de Souza berkata, kajian semula itu tepat pada masanya berikutan kemungkinan ancaman baharu seperti “serangan mengejut pihak yang mempunyai mental tidak stabil”.
Pada Julai, seorang paderi Katolik berusia 86 tahun di sebuah gereja Perancis ditikam mati dalam kejadian tebusan.
Dilaporkan ramai umat Islam di seluruh Perancis menghadiri perhimpunan Katolik selepas pembunuhan itu sebagai tanda perpaduan.
Tidak dilupakan juga satu kejadian di gereja Pulau Pinang yang diserang pada 2014 apabila 2 bom dicampak ke dalam kawasannya.
Masjid di Singapura juga meningkatkan langkah-langkah keselamatan mereka. Pengarah masjid Muis, Mohd Helmy Isa berkata pihaknya juga bersama-sama dengan perancangan SGSecure, dan sudah mengambil langkah keselamatan bagi mengekalkan keharmonian serta perpaduan komuniti.
Kawasan masjid dilindungi dan dikunci selepas tengah malam serta dipasang CCTV. Mereka juga sentiasa peka dengan organisasi kawasan kejiranan dan akar umbi, serta Inter-Racial and Religious Confidence Circles (IRCCs), katanya.
Pihak Hindu Endowments Board berkata, walaupun langkah-langkah keselamatan di 4 kuil berada di bawah bidang kuasanya, ia mengalu-alukan sebarang semakan yang akan menggalakkan kesedaran berhubung aspek keselamatan secara lebih menyeluruh di kalangan penganutnya.
“Semua kuil akan bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti polis dan SCDF, akar umbi dan IRCC untuk menangani kejadian luar jangka berkaitan keselamatan. Pihak lembaga berusaha menyediakan tempat yang selamat untuk ibadat bagi penganut kami.”
Presiden Persekutuan Buddha Singapura, Seck Kwang Phing berkata kuil di sana diarah meningkatkan kesedaran melalui ceramah dan surat pekeliling untuk menekankan mesej SGSecure selain langkah-langkah keselamatan sedia ada.
Sementara itu, Majlis Gereja Kebangsaan Singapura (NCCS) akan mengadakan mesyuarat tertutup dengan Timbalan Perdana Menteri Teo Chee Hean minggu depan berhubung SGSecure.
“Semua pemimpin utama gereja dan agensi-agensi berkaitan akan menghadirinya. Seperti yang anda boleh lihat, NCCS mengambil serius perkara ini,” kata setiausaha agungnya, Rev Dr Ngoei Foong Nghian.