
Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata pengumuman itu penting kerana kegagalan berbuat demikian memberi kesan tidak baik kepada pelancongan negeri.
“Jika pengumuman tidak dibuat ia boleh menjejaskan kedatangan pelancong ke negeri ini. Perak menyasarkan 7 juta pelancong bersempena Tahun Melawat Perak 2017,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis perasmian Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak serta penyerahan surat tawaran Program Perumahan Rakyat (PPR) Amanjaya Parit Haji Wahab, Tanjung Piandang kepada 60 penduduk dekat sini hari ini.
Zambry diminta mengulas kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah semalam yang berkata keputusan kehadiran rotavirus bagi sampel air yang diambil pada 29 dan 30 September lepas di 7 lokasi persampelan di resort berkenaan mendapati kesemuanya negatif Rotavirus.
Dr Noor Hisham berkata keadaan itu mungkin kerana tindakan pada 24 September lepas iaitu aktiviti pengklorinan air serta pencucian sebelum persampelan air oleh Kementerian Kesihatan dilakukan, boleh menyahkan Rotavirus.