
Insiden helikopter Nuri TUDM mendarat cemas di Tawau pada Selasa lepas, tidak sepatutnya dilihat dari sudut negatif, malah helikopter itu masih mampu memainkan peranannya sebagai ejen pemantau keamanan, operasi mencari dan menyelamat serta penugasan berunsurkan latihan ketenteraan.
Juruterbang ujian Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Prof Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian berkata helikopter Nuri sebenarnya boleh lagi digunakan tetapi tidak boleh begitu kerap untuk mengelakkan kadar kehausannya.
“Perkhidmatan Nuri harus digilir dengan pesawat baharu yang berada dalam rangkaian TUDM. Amerika Syarikat misalnya masih menggunakan pesawat Skyhawk yang berusia 40 tahun lebih untuk melatih anggotanya dalam latihan akrobatik,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas insiden sebuah helikopter Nuri TUDM mendarat cemas di bumbung dewan terbuka di SMK Balung menyebabkan 22 orang cedera iaitu 13 anggota TUDM, 8 pelajar dan seorang pekerja pembersihan SMK Balung.
Helikopter Nuri merupakan sejenis helikopter utiliti TUDM yang membabitkan pelbagai tugasan operasi, dan mula berkhidmat dengan badan pertahanan negara itu sejak 1967. Ia masih lagi digunakan sehingga hari ini.
Harridon berkata pesawat Nuri apabila lama berada dalam perkhidmatan, mempunyai kemungkinan yang tinggi untuk mencapai kehausan di dalam struktur logam dan enjinnya.
“Ini merupakan faktor teknikal, namun begitu jika pemantauan secara komprehensif dilakukan secara berterusan, pesawat yang lama umurnya seperti Nuri masih selamat lagi digunakan,” katanya.
Mengulas mengenai punca kejadian, Harridon berkata terdapat beberapa kemungkinan antaranya masalah enjin atau struktur yang kehausan dan aspek ini mungkin sedang disiasat TUDM.
Sementara itu bekas juruterbang, Kapten (B) Abdul Rahmat Omar Tun Mohd berkata Nuri adalah pesawat yang masih diperlukan dan merupakan antara aset TUDM yang diserapkan ke dalam Pasukan Udara Tentera Darat untuk tujuan mobiliti udara.
“Nuri antara aset TUDM yang mempunyai rejim penyelenggaraan yang amat baik. Usia lanjut sesebuah pesawat itu tidak banyak memainkan peranan sekiranya penyelenggaraan adalah baik,” kata bekas pegawai TUDM itu.
Rahmat berkata tindakan TUDM menggantikan Nuri secara berperingkat sebelum ini bukan kerana usia atau masalah penyelenggaraan, tetapi untuk menyesuaikan peranan TUDM seperti pencarian dan penyelamatan tempur (CSAR) yang memerlukan helikopter yang berperanan khusus.
Beliau berkata Kementerian Pertahanan perlu mendapatkan bajet yang diperlukan bagi membolehkan aset TUDM seperti Nuri dan kelengkapan lain diselenggara dan perkhidmatannya diteruskan dengan baik.