
Ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata sekiranya Dr Mahathir seorang yang cerdik, beliau tidak akan melakukan “kerja gila” seperti mengumpul sejuta tanda tangan untuk menyingkir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
“Semua tindakan beliau memalukan. Tak logik dan tak lagi masuk akal,” katanya kepada pemberita di acara pelancongan Asean Celebrity Explore Quest Malaysia di sini hari ini.
Nazri ditanya mengenai pengakuan Dr Mahathir yang gagal menyakinkan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah berkenaan Deklarasi Rakyat dalam pertemuan baru-baru ini.
Kempen Deklarasi Rakyat dilancarkan Dr Mahathir bersama 40 individu lain pada Mac lepas, menyeru rakyat supaya menyertai usaha menyingkirkan Najib secara aman.
Ahli Parlimen Padang Rengas menegaskan Najib tidak akan tersingkir selagi beliau mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen.
“Sekiranya Najib hilang sokongan, Agong boleh melantik perdana menteri baharu,” katanya.
Mengulas isu lain, Nazri, yang juga menteri pelancongan dan kebudayaan mendakwa tindak-tanduk pemimpin Gerakan Baju Merah Datuk Jamal Yunos tidak menjejaskan Umno sama sekali.
Jamal, yang juga Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, dikritik kerana mengoyak dan pam surat tuntutan maaf yang dihantar oleh peguam Maria Chin Abdullah ke dalam tandas.
Surat tuntutan daripada Pengerusi Bersih 2.0 itu merupakan respon kepada tuduhan Jamal yang mendakwa gabungan reformasi pilihan raya itu diresapi IS.
Nazri berkata “mustahil” tindakan seseorang boleh menggambarkan Umno yang mempunyai tiga juta ahli.
“Dia tidak mewakili pemikiran Umno.”