
Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata semua yang berada dalam kapal Zaytouna Oliva itu ditawan dan ditunda ke Pelabuhan Ashdod.
Katanya, mereka tiba di Pelabuhan Ashdod kira-kira jam 12 malam waktu tempatan iaitu 5 pagi waktu Malaysia.
“Setakat ini, Mycare hanya dapat mengesahkan semua ahli misi masih berada di Pelabuhan Ashdod.
“Kami masih tidak dapat maklumat lokasi sebenar kedudukan mereka dan hanya dimaklumkan berada di Pelabuhan Ashdod. Kami masih tunggu maklumat daripada FFC,” katanya pada sidang media di pejabat MyCare di Serdang hari ini.
Selepas 9 hari pelayaran dari Messina, Sicilly, Itali, kapal Zaytouna- Oliva dipintas dirampas tentera laut Israel semalam pada jam 9.58 malam waktu Malaysia ketika berada di hampir 42 batu nautika dari pantai Gaza.
Sehubungan itu, MyCare bersama Freedom Flotilla Coalition (FFC) mendesak Israel membebaskan semua ahli misi dan anak kapal dengan kadar segera.
“Israel tidak berhak menahan kerana mereka tidak melakukan kesalahan.
“Mereka tidak bawa senjata malah mengelak daripada membawa bantuan kemanusiaan yang boleh menimbulkan curiga Israel,” katanya.
Kamarul berkata tindakan Israel menghalang kapal Zaytouna Oliva memasuki Gaza di perairan antarabangsa jelas mencabuli undang-undang maritim antarabangsa.
“Kami juga gesa PBB, EU, OIC dan semua forum antarabangsa mengutuk polisi Israel menggunakan sekatan punitif secara kolektif ke atas Gaza dan mendesak Israel menghentikan sekatan ini,” katanya.
Pautan
Doktor Malaysia antara terlibat selepas Israel tahan kapal bawa bantuan