
Wakil rakyat Damansara Utama itu turut tidak berpuas hati dengan penjelasan mengenai audit perbelanjaan penuh Permata, program pendidikan awal yang diilham Datin Seri Rosmah Mansor itu.
“Kami akan menulis surat meminta laporan audit (Permata) dan pihak Permata bersetuju untuk memberinya,” kata Yeo kepada wartawan selepas lawatannya ke pusat Permata di Kerinchi tadi.
Yeo yang berbaju kurung hitam tiba di pusat Permata di Kerinchi itu pada 10.00 pagi dan disambut pembantu Rosmah, Datul Rizal Mansor, yang menjemputnya.
Rizal berkata jemputannya hari ini diberikan dengan syarat Yeo juga akan memberi penjelasan beserta bukti untuk menunjukkan kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP juga telus dalam projek terowong dasar laut.
Bukan bawah JPM
Yeo berharap laporan audit itu akan diterbitkan di laman rasmi Permata untuk rujukan orang ramai.
Yeo berkata Permata sepatutnya diletakkan di bawah seliaan kementerian yang berkait bagi memastikan penyelarasan pendidikan lebih baik.
“Memang kita ada pendirian lain dari segi prinsip tetapi kita mahu kebaikan semua kanak-kanak, kita bukan datang nak buat kacau tetapi kita mahu pentadbiran dan ketelusan (Permata). Kita nak kebaikkan untuk kanak-kanak tanpa mengira warna kulit,” katanya.
Penasihat Permata, Tan Sri Sharifah Hapsah Syed Hasan berkata pihaknya akan menyediakan audit sepertimana yang ditutut wakil DAP.
Bagaimanapun, soal mendedahkan perbelanjaan Permata perlu menerusi Peguam Negara, katanya.
Beliau menjelaskan tidak semua peruntukan tahunan melebihi RM100 juta kepada Permata digunakan sepenuhnya.
“Jumlah yang kami dapat setahun untuk Permata RM40-45 juta setahun, selebihnya kita berikan kepada agensi lain seperti Kemas,” katanya.
Ketelusan Pulau Pinang
Sementara itu, Yeo hari ini turut menyerahkan kepada Rizak kenyataan media kerajaan Pulau Pinang berkenaan terowong dasar laut yang dipertikaikan pemimpin Umno sebelum ini.
“Kalau tidak cukup, kita boleh jemput dia (Rizal) pergi ke Pulau Pinang menerusi satu sesi dialog untuk diberi penerangan,” katanya.
Rizal berkata akan meneliti kenyataan media itu, dan bersedia ke Pulau Pinang bagi mendapat penjelasan sebenar.
“Yeo kata nak atur lawatan ke Pulau Pinang untuk saya dengar taklimat. Saya akan bincang sebab saya nak dengar juga dari pihak mereka,” katanya.
https://www.youtube.com/watch?v=D9_-5fy5h0M&feature=youtu.be
Pautan: