Bangunan terabai: Kementerian jumpa Kelab Sultan Sulaiman

Bangunan terabai: Kementerian jumpa Kelab Sultan Sulaiman

Mas Ermieyati berkata, sejak kontrak kawalan keselamatan dan pembersihan tamat pada 2014, kedua-dua kerja itu dikendalikan KSS sendiri.

Mas Ermieyati Samsudin
PETALING JAYA: Jabatan Warisan Negara (JWN) akan mengadakan mesyuarat dengan pihak Kelab Sultan Sulaiman (KSS) dalam masa terdekat bagi membincangkan masalah berkaitan penyelenggaraan yang dihadapi replika Bangunan Warisan Kelab Sultan Sulaiman, kata timbalan menteri pelancongan dan kebudayaan.

Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, kerja pembersihan dan kawalan keselamatan ke atas bangunan itu perlu dikendalikan KSS sendiri, selepas 2 kontrak itu tamat pada 2014 dan tidak disambung semula.

Beliau berkata, berdasarkan surat Pejabat Setiausaha Sulit Sultan Selangor bertarikh 29 Jun 2009, pemilikan bangunan itu adalah milik KSS, manakala JWN dipertanggungjawabkan menyelenggara dan menjaga kebersihan bangunan berkenaan.

“Sejak tarikh kuat kuasa surat berkenaan, jabatan menjalankan kerja kawalan keselamatan dan pembersihan di bangunan. Bagaimanapun, kontrak kawalan keselamatan tamat pada Mac 2014, manakala pembersihan pada Disember 2014.

“Kerja penyambungan kontrak tidak dapat dilaksanakan akibat teguran audit berkaitan perolehan yang dibuat ke atas kedua-dua kerja itu. Sejak itu, kerja kawalan dan pembersihan diuruskan sepenuhnya oleh KSS sendiri,” katanya dalam 1 kenyataan kepada FMT.

Sebelum ini, FMT mendedahkan replika Bangunan Warisan Kelab Sultan Sulaiman yang siap dibina dan dirasmikan pada 2007 oleh Sultan Selangor ketika itu, Sultan Sharafuddin Idris Shah kini menjadi bangunan usang.

Bangunan yang turut dikenali sebagai Rumah Putih di Jalan Dewan Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur itu kini terbiar, tidak dijaga dengan sempurna, kawasan sekitarnya dipenuhi semak dan pokok tinggi sehingga bangunan itu seperti tidak bernilai.

Mas Ermieyati berkata, bangunan itu pada asalnya dijadikan pusat aktiviti warisan.

“Bagaimanapun, sejak 2015, tiada perancangan dan penggunaan bangunan kelab ini, memandangkan JWN mempunyai bangunan sendiri, iaitu bangunan pusat pengembangan warisan yang diguna pakai sepenuhnya untuk aktiviti pengembangan warisan,” katanya.

Pautan:

Hanya tinggal tingkap pecah di replika Kelab Sultan Sulaiman

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.