
Bercakap kepada akhbar The Straits Times Singapura, pengkaji di Pusat Penyelidikan Luar Pesisir dan Kejuruteraan di National University of Singapore, Andrew Palmer berkata loji nuklear bawah tanah akan dapat menangani sebarang kebocoran atau serangan pengganas, dan tidak perlu penggunaan tanah yang sememangnya terhad.
Bagaimanapun, sebuah syarikat yang menyediakan kemudahan terapung, Floating Solutions LLP, mencadangkan pembinaan loji nuklear menggunakan platform terapung di laut, kerana jika berlaku situasi berbahaya, loji itu boleh dialihkan.
Pengarah Urusannya Lim Soon Heng berkata, Reaktor Modular Kecil Terapung (fSMR) adalah penyelesaiannya kerana ia tidak membebaskan gas, mampu menjana 50 hingga 500 megawatt elektrik, boleh dipasang di tempat dengan kedalaman air mencukupi dan dipindahkan melalui laut.
FSMR yang usang juga boleh digantikan dengan mudah, dan loji terapung itu tidak memerlukan pengisian semula bahan api selama beberapa bulan atau tahun dan penyelenggaraan boleh dijalankan di limbungan kapal diiktiraf, di mana fSMR ganti boleh digunakan ketika penyelenggaraan.
Sebagai peneraju dalam penyelesaian pelantar luar pesisir, Singapura boleh menjadi pemimpin dunia dalam pembinaan fSMR kerana ia hanya perlu membangunkan kepakaran untuk memasang dan mengendalikan reaktor nuklear itu, memandangkan kemahiran untuk sistem hiliran reaktor bukan sesuatu yang baharu.
FSMR juga boleh dilindungi daripada serangan pengganas, memandangkan laut di sekitar Singapura adalah antara perairan paling selamat di dunia, ekoran tahap berjaga-jaga yang tinggi dan protokol pelabuhan.
Menurut ST, pemecah ombak di sekeliling fSMR, pemasangan radar, ultrabunyi dalam air, dron bersenjata dan pagar bervoltan tinggi boleh menjadi perlindungan tambahan untuk fSMR.
Sejak kapal selam nuklear pertama USS Nautilus pada 1954, banyak kapal tentera laut dan pemecah ais menggunakan kuasa nuklear, selain limbungan di Rusia dan China semakin banyak digunakan untuk membangunakan loji nuklear terapung.
Kos pembinaan fSMR adalah tinggi, namun cadangan itu masih “menarik” kerana pembinaan loji janakuasa gas konvensional di Singapura berdepan masalah harga tanah yang mahal dan keluasan tanah terhad.
“Yang pasti, tanggapan loji nuklear terapung di Singapura mungkin mengejutkan bagi sesetengah orang.
“Tetapi, pandangan saya ialah ia penyelesaian masuk akal berdasarkan kepakaran Singapura dalam pelantar bangunan luar pesisir dan ia adalah kos efektif. Tidak ada penyelesaian sci-fi, tetapi kemungkinan berbeza,” kata Lim.
Kini, 95% tenaga di Singapura disalurkan dari Indonesia dan Malaysia dalam bentuk gas asli.