Pelanggan Rayani Air boleh hubungi bank dapatkan kembali wang

Pelanggan Rayani Air boleh hubungi bank dapatkan kembali wang

Mavcom difahamkan ada segelintir pelanggan Rayani Air yang berjaya mendapat bayaran balik daripada bank mereka.

rayani-air
PETALING JAYA: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menasihatkan pelanggan Rayani Air yang membeli tiket menggunakan kad kredit atau debit supaya membuat tuntutan bayaran balik daripada bank pengeluar kad itu sebelum 13 Oktober ini.

Mavcom berkata, selepas berhubung dengan Bank Negara Malaysia dan pihak berkaitan untuk mencari jalan penyelesaian bagi menangani kerugian ditanggung pelanggan Rayani Air, suruhanjaya itu difahamkan ada segelintir pelanggan yang berjaya mendapat bayaran balik.

“Semua pertanyaan berhubung perkara ini hendaklah diajukan terus kepada pihak bank yang mengeluarkan kad kredit atau debit tersebut di bawah kategori ‘servis yang diterima’ atau dalam kategori sama.

“Pelanggan juga mungkin perlu mengemukakan dokumen berkaitan kepada bank tersebut bagi proses bayaran balik. Bank yang mengeluarkan kad kredit atau debit tersebut boleh mengambil masa 90 hingga 120 hari untuk memproses suatu bayaran balik,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Mavcom berkata, pelanggan yang menghadapi kesukaran dengan bank mereka boleh menghubungi suruhanjaya itu di talian 03-2772 0677 pada waktu pejabat atau layari www.mavcom.my.

Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) dan Sijil Pengendali Udara (AOC) Rayani Air dibatalkan pada 13 Jun lalu, selepas syarikat penerbangan patuh syariah pertama itu melanggar syarat ditetapkan lesen tersebut, selain kedudukan kewangan dan komersial yang lemah untuk terus beroperasi.

Ia susulan penggantungan AOC selama 3 bulan, berkuat kuasa 11 April lalu dan surat tunjuk sebab yang dikeluarkan Mavcom kepada Rayani Air pada 25 Mei lalu.

Syarikat yang baru beroperasi pada Disember 2015, mengumumkan penggantungan operasi penerbangan tanpa kebenaran DCA pada 8 April lalu.

Pautan:

Beli tiket Rayani Air guna kad bank boleh tuntut semula wang

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.