
Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan berkata, ia bagi memastikan keselamatan pelajar sekolah berkenaan terjamin.
“Sekolah akan menghadapi peperiksaan SPM tidak lama lagi. Kita akan mencari lokasi lain sekiranya bangunan itu tidak dapat digunakan.
“Sekiranya sekolah itu menjadi pusat peperiksaan dan kebiasaanya ia menjadi pusat peperiksaan, kita akan cari lokasi paling sesuai bagi menempatkan pelajar mengambil SPM,” katanya selepas merasmikan Pusat Komuniti India (MICC) hari ini.
Beliau mengulas kejadian helikopter Nuri milik TUDM mendarat cemas di sekolah itu yang turut menjejaskan Pusat Kemahiran Hidup sekolah dan menyebabkan beberapa pelajar cedera ringan.
SPM dijadualkan bermula 7 November hingga 6 Disember ini.
Kamalanathan berkata, SMK Balung ditutup mulai hari ini sehingga siasatan pihak berkaitan selesai.
“Kawasan sekolah itu akan dikawal dan menjadi tempat larangan serta-merta. Kita (Kementerian Pendidikan) akan ambil tindakan selanjutnya berdasarkan nasihat pihak berkenaan,” katanya.
Terdahulu, TUDM berkata, kejadian itu berlaku ketika helikopter Nuri itu membuat pendaratan cemas berhampiran sekolah terbabit, bukannya terhempas.
Pasukan menyelamat sudah dihantar ke tempat kejadian bagi memudahkan helikopter itu dibawa keluar dari tempat kejadian dan sebuah pasukan penyiasat akan ditubuhkan bagi mengenal pasti punca kejadian.
TUDM berkata, pesawat yang dinaiki 14 anggota itu berlepas dari pangkalan TUDM di Tawau pada jam 7.35 pagi untuk menjalani latihan penerbangan harian dan penilaian sedang dilakukan sebelum tindakan lanjut diambil.
Lima pelajar dan 14 anggota tentera yang cedera dikejarkan ke Hospital Tawau, selepas kejadian kira-kira jam 9.45 pagi itu.
Menurut laporan Bernama, pekerja kantin sekolah terbabit dipercayai turut cedera.
Pautan:
SMK Balung ditutup pantau Nuri jatuh di atas bumbung sekolah