
Presidennya, Datuk Azih Muda menyifatkan kajian itu tidak tepat kerana tidak mewakili seluruh pekerja di negara ini.
Kajian JobStreet.com membabitkan maklum balas 67,000 pekerja meliputi 7 negara iaitu Filipina, Indonesia, Thailand, Hong Kong, Vietnam, Singapura termasuk Malaysia.
Dalam kajian itu Singapura mendahului carta diikuti Malaysia dan Vietnam sebagai 3 negara utama memiliki pekerja paling tidak bahagia di Asia.
“Malaysia mempunyai 13 juta pekerja, majoritinya bahagia dan berada dalam keadaan baik. Saya tidak bersetuju dengan keputusan kajian ini,” katanya kepada FMT.
Namun, beliau juga tidak menolak hakikat segelintir kumpulan pekerja yang berdepan tekanan di tempat kerja.
“Saya tidak menolak berhubung tekanan di tempat kerja. Di setiap organisasi, pasti ada waktu tertentu menyiapkan tugasan dalam waktu singkat, maka mereka pasti berasa tertekan.
“Ia tidak bermakna pekerja di negara ini tidak bahagia. Konteksnya berbeza. Kalau rasa tidak bahagia, anda boleh dirujuk ke Hospital Bahagia,” katanya.
Beliau turut menggesa kerajaan membuka kembali kekosongan pekerjaan dalam sektor perkhidmatan awam yang dibekukan.
Katanya, langkah itu juga menyebabkan pekerja tertekan selepas terpaksa bekerja lebih masa dan melakukan 2 hingga 3 shift sehari.
“Pekerja yang berkhidmat di hospital misalnya, tertekan dengan jadual kerja padat akibat kekurangan rakan sekerja. Doktor, jururawat, pakar dietik, kakitangan kaunter pertanyaan tertekan dengan lebihan kerja,” katanya.
Beliau juga mengetengah situasi tekanan kerja yang membawa kepada penceraian namun kadar peratusan tidak tinggi, hanya 0.001%.
“Jadi tidak timbul isu tidak bahagia dalam hal ini. Tekanan memang ada tetapi tidak sampai ke tahap tidak bahagia,” katanya.
Beliau menasihatkan masalah di tempat kerja di atasi dengan bersikap positif dan bersedia menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi dengan berbincang.