
Beliau berkata kerajaan melalui Rancangan Malaysia ke-11 meliputi tempoh 5 tahun bermula tahun ini, menetapkan sasaran 1% golongan OKU dalam sektor awam yang melibatkan 16,000 jawatan daripada 1.6 juta penjawat awam.
Daripada 16,000 jawatan itu, katanya hanya 13,000 jawatan sesuai diisi golongan OKU kerana selebihnya merupakan jawatan yang mempunyai keperluan spesifik seperti polis dan tentera.
“Pada masa ini, lebih 3,000 jawatan sektor awam diisi OKU dan kita akan berjumpa pelbagai pihak bagi memastikan kuota selebihnya itu diisi sepenuhnya golongan OKU,” katanya pada sidang berita di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Roadshow Pelan Tindakan Pemerkasaan Orang Kurang Upaya 2016-2017 Zon Selatan di Stadium Hang Jebat, Krubong di sini. Turut hadir Exco Wanita,Pembangunan Keluarga, dan Hal Ehwal Kebajikan Melaka Datuk Latipah Omar.
Mengulas mengenai Pelan Tindakan Pemerkasaan Orang Kurang Upaya 2016-2017 itu, Azizah berkata pelan berkenaan dilancarkan pada 9 Ogos lepas dan ia memerlukan kolaborasi pelbagai pihak bagi memastikan kejayaannya.
“Tanpa kerjasama pelbagai pihak, pelan tidak akan capai kejayaan. Sektor swasta dan PBT (pihak berkuasa tempatan) antara pihak penting dalam menjayakan usaha ini,” katanya sambil berharap lebih banyak PBT akan merangka dasar untuk OKU.
Beliau berkata penting bagi sektor swasta berganding bahu dengan kerajaan dalam menyediakan kemudahan untuk OKU terutama di premis tumpuan awam seperti pusat beli-belah dan hotel.
Azizah berkata sektor swasta juga memberi maklum balas amat positif dengan usaha mengambil lebih ramai OKU bekerja dalam sektor itu tetapi beliau berharap lebih ramai lagi OKU diberi peluang sama.