Permata telus, anda dipersilakan, pembantu Rosmah pelawa Adun DAP

Permata telus, anda dipersilakan, pembantu Rosmah pelawa Adun DAP

Bagaimanapun, Yeo perlu juga memberikan butiran terperinci kontroversi terowong dasar laut di Pulau Pinang, kata Rizal Mansor.

rizal-mansor
PETALING JAYA:
Pembantu Datin Seri Rosmah Mansor hari ini mengulangi pelawaannya kepada Adun DAP, Yeo Bee Yin melawat pusat pendidikan awal kelolalan Pusat Anak Permata Negara di Putrajaya yang dinaungi isteri perdana menteri itu.

“Jemputan kepada anda melawat Permata tidak ditarik balik. Kami akan menerima anda minggu ini,” kata Datuk Rizal Mansor, menjawab kenyataan Yeo semalam mempersoalkan sama ada Permata akan membatalkan jemputan kepadanya kerana mahu menyorok sesuatu.

“Akaun Permata diaudit setiap tahun oleh Pejabat Ketua Audit Negara dan beliau bebas merujuk laporan tahunan ini,” kata Rizal.

Bagaimanapun, beliau berharap selepas lawatan itu, Yeo akan mengadakan sidang media dalam tempoh 3 hari untuk menjelaskan kontroversi mengenai terowong dasar laut di Pulau Pinang.

“Kami meminta pegawai anda menghubungi setiausaha pejabat bagi memuktamadkan persediaan,” katanya.

Sebelum ini Yeo mengkritik Permata kerana tidak mempunyai hala tuju strategik yang jelas walaupun dibiayai kerajaan.

Beliau juga mendakwa kewangan badan dinaungi Rosmah itu tidak telus.

Susulan itu, Rizal pada Sabtu mempersoalkan Yeo kerana tidak bersuara mengenai akauntabiliti kerajaan pimpinan DAP di Pulau Pinang.

“Sekali lagi saya tekankan, DAP tidak ada monopoli menuntut ketelusan. Saya berhak menuntut YB Yeo menjelaskan secara terperinci bersertakan dokumen mengenai projek di Pulau Pinang memandangkan ia melibatkan berbilion ringgit dana negeri,” kata Rizal hari ini.

Rizal berkata Enakmen Kebebasan Maklumat yang didakwa diamalkan DAP juga tertakluk kepada pemohon menandatangani deklarasi menjanjikan sebarang maklumat yang dilihatnya tidak didedahkan.

Pautan:

Permata tiada apa mahu disorok, kata Adun DAP

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.