Makin banyak tanah diteroka, tapi rumah dibina untuk siapa, soal PSM

Makin banyak tanah diteroka, tapi rumah dibina untuk siapa, soal PSM

Yang menjadi mangsa adalah 40% golongan berpendapatan rendah yang menghadapi kesukaran membeli rumah.

Rumah
PETALING JAYA: Kerajaan membenarkan lebih banyak tanah diteroka tetapi perumahan yang dibina diluar kemampuan rakyat, kata Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Dalam satu kenyataan sempena sambutan Hari Habitat Sedunia, Penyelaras Biro Perumahan dan Peneroka Bandar Parames Elumalai mendesak kerajaan menjawab siapa kumpulan sasaran sebenar mereka.

“Permintaan rumah kos rendah semakin hari semakin bertambah. Namun pembinaan rumah kos rendah oleh pihak swasta mahupun kerajaan tidak setimpal dengan permintaan rakyat marhaen.

“Banyak tanah diteroka untuk membina rumah-rumah yang mewah dan mahal. Spekulasi harga rumah masih berleluasa tanpa kawalan ketat dari kerajaan.

“Yang menjadi mangsa adalah 40% golongan berpendapatan rendah menghadapi kesukaran untuk membeli rumah. Harga rumah melambung tinggi tapi gaji golongan berpendapatan rendah masih rendah,” kata Parames.

Hari Habitat Sedunia disambut setiap Isnin pertama bulan Oktober sebagai perakuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu kepada hak tempat tinggal.

Kajian Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) 2016 menyatakan harga rumah 4.4 kali lebih tinggi berbanding purata gaji tahunan sebenar rakyat.

Berdasarkan tinjauan FMT di beberapa laman web agen perumahan (Mitula.my, trovit.my) harga rumah di Kuala Lumpur bermula daripada RM80,000 sehingga jutaan ringgit.

Manakala di Bayan Lepas, Pulau Pinang dan Johor Bahru, Johor, harga rumah bermula daripada RM140,000 dan RM180,000.

“Permasalahan rakyat marhaen bukan setakat pemilikan rumah kos rendah. Pangsapuri-pangsapuri kos rendah rendah pula berhadapan dengan masalah penyelenggaran, pengurusan JMB, masalah geran strata dan kondisi bangunan yang teruk,” kata Parames.

PSM menggesa kerajaan perhebatkan pembinaan rumah kos rendah dan mampu milik dengan penetapan harga yang setimpal, melonggarkan bayaran balik pinjaman rumah untuk golongan berpendapatan rendah, memastikan kos selenggara pangsapuri terjamin rendah.

PSM juga mengingat kerajaan bahawa golongan berpendapatan rendah lebih banyak menghadapi ancaman rumah lelong, dan meminta kerajaan supaya mengetatkan syarat melelong rumah.

“Bank-bank lebih cenderung melelong rumah-rumah ini kerana mereka bukan sahaja mendapatkan balik pinjaman perumahan, tetapi boleh menjual rumah tersebut dengan harga pasaran yang lebih tinggi.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.