Annuar: Bila ahli pembangkang gigit telinga, bukan partinya yang makan telinga

Annuar: Bila ahli pembangkang gigit telinga, bukan partinya yang makan telinga

Ketua Penerangan Umno tepis cubaan mengaitkan parti kepada tindakan agresif aktivis Gerakan Baju Merah, dan nafi Umno dalang kumpulan itu

annuar-musa_umno_merah
KUALA LUMPUR:
Umno tidak mendalangi Gerakan Baju Merah atau ada kaitan dengan tindakan agresif aktivis kumpulan itu, kata Tan Sri Annuar Musa.

Ketua Penerangan Umno itu menjelaskan Gerakan Baju Merah tidak pernah dijadikan agenda mesyuarat Majlis Tertinggi Umno dan Jawatankuasa Pengurusan Umno.

Beliau berkata demikian mengulas penyertaan ahli Umno dalam gerakan itu, yang dirakam berkelakuan agresif ketika berdepan aktivis Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) di Teluk Intan, Perak baru-baru ini.

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Jamal Md Yunos pemimpin kumpulan terbabit.

“Silap kalau kata Baju Merah itu Umno…tetapi kita tidak boleh halang individu yang mungkin ahli Umno memakai Baju Merah dan bersuara dalam negara yang mempunyai undang-undang,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Penerangan Umno Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Beliau menambah tindakan agresif aktivis Baju Merah juga tidak boleh dikaitkan kepada Umno.

“Pernah ada seorang ahli Parlimen pembangkang gigit telinga polis, tetapi pada saya itu adalah individu berkenaan,” kata Annuar, dipercayai merujuk kepada Ahli Parlimen Batu Tian Chua.

Naib presiden PKR itu dikenakan denda RM2,000 selepas mahkamah mendapati beliau bersalah kerana menyerang seorang anggota polis pada 2007.

“Tak adil melabel partinya parti yang makan telinga orang hanya disebabkan seorang ahli yang mengigit telinga. Kita kena berlaku adil.”

“Agresif adalah individu. Kalau ada sesiapa yang langgar undang-undang biarlah undang-undang yang menguruskannya. Kalau salah maka salahlah mereka,” tegasnya.

Sebelum ini, bekas ketua Wanita Umno Gopeng, Datuk Hamidah Osman menyifatkan tindakan Jamal mengganggu konvoi Bersih memalukan Umno dan memupuk budaya samseng.

Sementara itu, Annuar tidak berpuas hati dengan penggunaan label ‘mat rempit’ oleh pengkritik Gerakan Baju Merah.

“Kalau mereka mat rempit apakah mereka kelas dua dalam negara ini? Adakah kerana mereka mat rempit dan berbaju merah mereka tidak berhak menyampaikan perasaan hati mereka?” soalnya.

“Kenapa nak andaikan mereka ini diupah dan yang Bersih ini tidak diupah. Saya menghormati rakyat yang hendak mengunjuk rasa,” tambahnya.


Pautan:

Tindakan Jamal malukan Umno, pupuk budaya samseng, kata veteran

Bersih pun samseng, Bung Moktar pertahan Jamal

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.