Saya boleh jadi lagi teruk daripada Hillary, kata Trump

Saya boleh jadi lagi teruk daripada Hillary, kata Trump

Calon Republican itu mengungkit kisah curang suami Hillary Clinton dalam usaha untuk memulihkan kempen yang menjunam sepanjang minggu

trump
PETALING JAYA:
Donald Trump meningkatkan serangan terhadap Hillary Clinton dengan mengungkit kisah curang suaminya, dalam usaha untuk memulihkan kempen yang menjunam sepanjang minggu.

“Dia teruk,” kata Trump kepada New York Times dalam wawancara yang disiarkan Jumaat, “tapi saya boleh jadi lagi teruk.”

Kenyataan itu dipetik daripada wawancara yang menyentuh pelbagai perkara peribadi termasuk sejarah perkahwinannya, racauan di Twitter dan prestasi dalam debat presiden pertama.

“Hillary Clinton mengahwini pencabul wanita paling hebat dalam sejarah politik,” kata Trump kepada New York Times. “Dia membolehkan pencabulan berlaku, kemudian menyerang wanita yang dimangsakan Bill Clinton. Ini masalah besar mereka dan saya mungkin akan bangkitkan isu ini lagi dalam masa terdekat.”

Bagaimanapun, kempen Trump sepanjang minggu kerap mengungkit kes curang Bill Clinton. Pada hari Sabtu sebelum debat presiden, dia mengancam untuk bawa Gennifer Flowers sebagai tetamu debat, dan selepas acara Isnin itu, dia beritahu pemberita CNN Dana Bash yang dia “gembira” dapat menahan diri daripada mengungkit perbuatan Bill Clinton.”

Rabu lalu, salinan tajuk perbincangan kempen Trump mengarahkan penyokong supaya menggunakan watak seperti Flowers dan Monica Lewinsky untuk menyerang balas salah laku Trump terhadap seorang bekas Miss Universe.

Trump beritahu New York Times sejarah perkahwinannya tidak menghalang dia daripada menyerang sejarah curang Bill Clinton. Trump berkahwin tiga kali dan perkahwinan pertamanya terkubur selepas dia meneruskan hubungan sulit dengan Marla Maples.

Ini kerana kecurangan Bill Clinton, kata Trump, “memalukan jawatan presiden, dan Hillary Clinton membela suaminya sepanjang kes itu.”

Calon Republican itu percaya isu itu akan memburukkan imej Hillary di mata pengundi wanita.

Ditanya sama ada dia pernah curang, Trump menjawab: “Tak – saya tak pernah bincang mengenai. Ia bukan suatu masalah.”

Ditanya mengenai hubungannya dengan Maples, dia menjawab, “Saya tak mahu bangkitkannya. Saya bukan presiden AS. Apabila dia (Bill Clinton) dicabar, negara jadi huru-hara. Dia dan Monica Lewinsky berbohong dan dihukum.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.