Wujudkan garis panduan lengkap demi ketelusan dana politik, kata TPM

Wujudkan garis panduan lengkap demi ketelusan dana politik, kata TPM

Ahmad Zahid berkata, saranan itu lahir daripada beberapa siri perbincangan dengan semua pihak, termasuk pihak berkuasa berkaitan

zahid
PONTIAN: Garis panduan bersama yang lengkap perlu diwujudkan bagi memastikan ketelusan dana politik dalam kalangan parti politik di negara ini, kata timbalan perdana menteri.

Menyambut baik cadangan pelaksanaan Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, saranan itu lahir daripada beberapa siri perbincangan dengan semua pihak, termasuk pihak berkuasa berkaitan.

“Kita tidak mahu hanya pihak parti memerintah sahaja, terutama parti komponen Barisan Nasional (BN) (perlu membentangkan sumber dana politik) yang (sebelum ini) dituduh dengan pelbagai tuduhan seolah-olah pihak sebelah sana (parti pembangkang) tidak dapat dana politik dari sumber yang tidak perlu dibentangkan,” katanya selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Tanjung Piai, hari ini.

Naib presiden Umno itu yang menjalankan tugas sebagai timbalan presiden parti berkata, semua pihak harus berfikiran terbuka dan melapangkan dada supaya akta itu dapat dijadikan garis panduan bersama untuk meleraikan pelbagai tuduhan berkaitan dana politik, terutama oleh parti pembangkang sebelum ini.

“Kita rasakan mereka (pihak pembangkang) harus telus…kita dapati jika mereka mempunyai kuasa, tentunya ada dana politik pada mereka yang pernah mereka perolehi daripada mereka yang pernah membantu dan kita tahu…tapi eloklah diketahui (sumbernya),” katanya yang menyokong cadangan akta itu dibentangkan di Parlimen untuk dibahaskan bagi kepentingan bersama.

Beliau mengulas cadangan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) yang menggariskan 32 idea, termasuk memperkenalkan Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik untuk penambahbaikan soal integriti dan pembiayaan politik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan yang juga Pengerusi JKNMPP semalam berkata, cadangan itu akan dibawa kepada kabinet 2 minggu lagi, sebelum dibawa ke Parlimen untuk dibahas dan diluluskan.

Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata, formula “berunding secara adik-beradik” sentiasa diamalkan Umno dan parti komponen BN, terutamanya dalam soal pengagihan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

Beliau berkata, BN sentiasa memberi peluang kepada semua parti komponen untuk bertanding, walaupun di kawasan bukan majoriti kaum yang diwakili parti berkenaan.

“Kita (Umno) berunding secara adik-beradik kerana MIC, MCA, Gerakan dan lain-lain (parti komponen), semua macam adik-beradik, kita dalam ‘kelambu politik yang sama’,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, walaupun parti komponen menghadapi cabaran pada pilihan raya umum lalu, beliau yakin sokongan daripada rakyat kepada BN akan kembali kukuh.

Beliau turut mengingatkan semua ahli Umno untuk kekal bersatu dan mengelakkan perpecahan dalam usaha mencapai agenda yang digariskan selama ini.

“Umno mempunyai agenda agama, bangsa dan negara yang hendak dicapai. Kita berpijaklah di bumi yang nyata, kerana insya-Allah Umno akan terus berjuang demi kepentingan Islam, Melayu dan negara ini tanpa mengetepikan agama lain, bangsa lain dan keturunan lain,” katanya.

Pautan:

PM: Pembangkang perlu sokong akta kawal selia dana politik

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.