
Komennya mencetuskan kejutan dan kemarahan masyarakat berbangsa Yahudi di Amerika Syarikat (AS), yang menekan kerajaan AS mengambil pendirian yang lebih tegas terhadap pemimpin Filipina itu.
Baru-baru ini Duterte menghina Presiden AS Barack Obama dan dalam siri ucapannya sekali gus menjejaskan hubungan rapat antara 2 negara itu.
Dalam ucapan terbarunya di Davao City sekembali dari lawatan Vietnam, Duterte memberitahu pemberita dirinya digambarkan sebagai sepupu kepada “Hitler” oleh pengkritik.
Menyedari Hitler membunuh berjuta-juta orang Yahudi, Duterte pula berkata, “Ada 3 juta penagih dadah (di Filipina), saya sedia menyembelih mereka..
“Jika Jerman mempunyai Hitler, Filipina akan mempunyai …,” katanya berhenti seketika dengan merujuk kepada dirinya sendiri.
“Anda tahu mangsa saya. Saya mahu kesemua penjenayah untuk menyelesaikan masalah di negara saya dan menyelamatkan generasi akan datang dari kebinasaan,” katanya.
Duterte berkuasa dalam politik Filipina selepas memenangi pilihan raya pada Mei lalu, berjanji mengakhiri dadah dan rasuah yang menghantui negara 100 juta orang itu.
Sejak mengambil alih jawatan pada 30 Jun, lebih 3,100 orang pengguna dadah dibunuh , kebanyakannya penagih dan pengedar dadah menerusi operasi polis.
Bagaimanapun, komennya mengaitkan Hitler dikutuk masyarakat Yahudi.
Ketua projek Simon Wiesenthal Center’s Digital Terrorism and Hate, Rabbi Abraham Cooper menyifatkan kenyataan itu sebagai “keterlaluan”.
“Duterte harus memohon maaf kepada mangsa (Holocaust) atas kenyataannya itu,” katanya.
Anti-Defamation League, sebuah kumpulan Yahudi antarabangsa yang berpangkalan di Amerika Syarikat pula berkata komen Duterte “mengejutkan mereka”.
“Membandingkan pengguna dan pengedar dadah kepada mangsa Holocaust tidak sesuai dan amat menyakitkan,” kata pengarah komunikasinya Todd Gutnick.
“Ia menyakitkan kerana mengapa seorang pemimpin yang mahu merujuk dirinya dengan raksasa itu.”
Terdahulu, 2 hari sebelum pilihan raya Filipina, presiden ketika itu, Benigno Aquino pernah memberi amaran dengan menyamakan populariti Duterte yang semakin meningkat dengan Hitler pada 1920-an dan 1930-an.
“Saya harap kita belajar pengajaran dari sejarah,” kata Aquino dalam ucapannya yang dilaporkan secara meluas. “Kita harus ingat bagaimana Hitler memperoleh kuasanya.”
Di sebalik pelbagai komen dan kenyataan pedas terhadap AS dan pegawai kanannya, termasuk presiden, Setiausaha Pertahanan AS Ash Carter terus mempertahan hubungan AS dan Filipina.
“Washington mempunyai satu pakatan yang ‘sukar diubah’ dengan Manila.”
Pegawai kanan pertahanan AS juga berkata, negaranya akan terus mengukuhkan perhubungan yang lama dibina dengan Filipina tanpa mengira siapa yang menjadi Presiden.
“Ia akan terus kekal demi kepentingan keselamatan bersama AS-Filipina, jadi kami akan terus berhubung dengan Presiden Duterte,” kata pegawai itu.