PM: Pembangkang perlu sokong akta kawal selia dana politik

PM: Pembangkang perlu sokong akta kawal selia dana politik

Najib berkata, BN secara prinsipnya menyokong akta itu, tetapi tidak adil jika hanya BN tertakluk kepada akta itu.

Free Malaysia Today
KUALA LUMPUR: Semua parti politik, termasuk pembangkang perlu menyokong Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik yang dicadangkan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik, kata perdana menteri.

Datuk Seri Najib Razak berkata, Barisan Nasional secara prinsipnya menyokong akta itu, tetapi tidak adil jika hanya BN tertakluk kepada akta itu.

Malah, kata presiden Umno itu, sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, BN pernah mencadangkan keperluan mewujudkan kaedah sumbangan politik lebih telus dan boleh dipantau pihak yang neutral dan objektif, tetapi tidak dipersetujui pembangkang.

“Pada prinsipnya kita setuju dan sokong kaedah baru. Kaedah ini perlu disokong kedua-dua pihak.

“Tak adil kalau BN sahaja dikenakan peraturan baru. Peraturan perlu dikuat kuasa kepada semua (parti) politik.

“Itu (baru) kertas cadangan. Butiran boleh bincang satu persatu,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, hari ini.

Hari ini, Datuk Paul Low berkata, Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik untuk menjamin integriti serta tadbir urus dana diterima sesebuah parti politik akan dibentang kepada Kabinet dalam tempoh 2 minggu lagi, sebelum dibawa ke Parlimen untuk dibahas dan diluluskan.

Menteri di jabatan perdana menteri itu berkata, draf akta itu merangkumi 32 cadangan yang dibahagikan kepada 3 kategori, iaitu proses pelaksanaan, keperluan undang-undang baharu dan jangkaan pelbagai isu berbangkit dalam tempoh panjang.

Sementara itu, Najib menyindir Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang mendakwa menerima permohonan berpuluh ribu keahlian, walaupun baru ditubuhkan.

Katanya, Umno masih kukuh dan mendapat sokongan masyarakat, terutama orang Melayu, kerana 6,000 ahli baru menyertai parti itu, bulan lalu.

“Saya hendak maklumkan untuk Ogos sahaja kita mendapat keahlian Umno bertambah seramai 6,000 yakni 374 ahli biasa, 731 untuk Wanita, 2,716 Pemuda dan 2,179 Puteri.

“Saya sebutkan sebab ada parti yang kata ada 30,000 keahlian, keluar jadi muka depan surat khabar. Saya beritahu Umno dapat 6,000 keahlian untuk Ogos, tetapi tidak keluar muka depan.

“Ia sebagai perbandingan, itu hakikat Umno masih mendapat sambutan di kalangan orang ramai,” katanya.

Dalam pada itu, Najib mengumumkan Perhimpunan Agung Umno 2016 akan dimulakan dengan sesi taklimat presiden pada 29 November ini.

Ia disusuli perasmian persidangan Pemuda, Wanita dan Puteri secara serentak oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada malam itu.

Perhimpunan agung badan induk itu pula akan bermula 1 hingga 3 Disember nanti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.