
Datuk Seri Najib Razak berkata, perkara itu menyebabkan pasukan keselamatan sukar mengawal perairan yang luas sehingga berlaku kes penculikan, khususnya di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom).
“Masalahnya sebab ada maklumat melalui orang dalaman, jadi bila dia ada maklumat, dia (penculik) tahu bila pasukan keselamatan tidak ada di sesuatu tempat dan ketika.
“Masa itulah mereka akan bertindak dan mustahil bagi kita untuk menempatkan aset dan anggota kita pada setiap tempat dan setiap masa…tidak ada mana negara pun mampu melakukan perkara itu, hatta negara maju sekalipun,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, hari ini.
Najib berkata, beliau akan mengemukakan cadangan tindakan baharu yang boleh diambil pihak keselamatan dalam mengawal perairan negara.
“Saya akan mengemukakan (cadangan) kepada mereka sebab rakyat Sabah tidak boleh terima kalau berlaku penculikan secara berterusan,” katanya.
Mengenai kemungkinan berlaku kemasukan penduduk negara jiran akibat operasi ketenteraan di selatan Filipina, Najib berkata, kerajaan akan memantau perkara itu.
“Kita akan pantau, namun tiada kemasukan secara besar-besaran setakat ini, tetapi kita akan memantau keadaan,” katanya.