
Datuk Hanafi Mamat berkata, istilah seteru diantara PAS dan Umno memang wujud bahkan parti Melayu itu merupakan pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.
“Parti PAS menguasai kerajaan Kelantan. Antara kedua-dua parti tidak ada sebarang ikatan politik atau kerjasama dalam konteks politik.
“Ini hakikat, tidak ada sebarang perjanjian politik setakat ini. Istilah seteru tetap wujud antara parti Umno dan PAS,” katanya kepada FMT.
Veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah dalam wawancara eksklusif Sinar Harian berkata beliau tidak faham sama ada PAS dan Umno rakan atau seteru dalam politik.
Tambahnya, Umno tidak beri jawapan tegas menjawab kekeliruan itu.
Hanafi akui ada kerjasama antara PAS dan Umno tetapi dalam projek yang melibatkan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat.
“Terdapat kerjasama dalam perlaksanaan projek dan program Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri demi rakyat. Contohnya, baik pulih dan pembinaan rumah untuk mangsa banjir dan masalah bekalan air pembinaan lebuhraya dan sebagainya,” katanya.
Razaleigh merasakan Umno akan tetap menentang PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.