
Syed Azman berkata Terengganu perlu mencontohi negeri itu yang berjaya membawa Petronas dan kerajaan pusat ke meja rundingan.
Di bawah pentadbiran Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem, Sarawak berusaha mendapatkan hak yang lebih dalam hasil minyak dan gas.
Syed Azman berkata sejak 2000, Terengganu dinafikan hak menerima royalti 5%, yang ditarik balik kerajaan pusat dan digantikan dengan “wang ehsan” dari Putrajaya.
Tahun lalu, Petronas berkata ia tidak lagi perlu membuat pembayaran kepada negeri itu kerana telaga minyak yang terletak di luar lingkungan 3 batu nautika bukan di bawah Terengganu.
“Sebagai anak Terengganu, saya tidak boleh menerimanya. Saya mahu berusaha membawa perubahan,” kata Syed Azman yang berkata usaha itu menerima sokongan 7 NGO dari negeri itu.
Menurutnya, kempen mengumpul tanda tangan akan dilakukan atas talian, dan menyasarkan 100,000 tanda tangan untuk dipersembahkan kepada raja Melayu.
Ahad lalu, dalam surat terbukanya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Syed Azman menyenaraikan 10 resolusi bagi menyelesaikan tuntutan royalti minyak Terengganu.
Antara lain, Syed Azman mahu 5% royalti minyak dikembalikan kepada kerajaan negeri, perlantikan anak tempatan ke dalam Lembaga Pengarah Petronas, peruntukan tahunan kepada 100 pelajar dari Terengganu bagi melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Petronas, penglibatan syarikat Terengganu dalam industri petrokimia, pengembalian hak negeri untuk telaga minyak Blok 207 yang diserahkan kepada Pahang, dan kajian meningkatkan royalti kepada 20%.
Bulan lalu, perbincangan antara kerajaan Sarawak dan Petronas, yang turut dihadiri Najib dan Adenan, membuahkan hasil selepas 7 perkara dipersetujui bersama meningkatkan penglibatan negeri dalam syarikat minyak negara itu.
Ia termasuk keutamaan jawatan kosong diberikan kepada anak tempatan, tawaran lanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Petronas dan perlantikan anak tempatan ke dalam Lembaga Pengarah Petronas