
Datuk Seri Ti Lian Ker yang mengetuai biro keharmonian agama MCA sebelum ini membantah pelaksanaan pendaftaran pengundi secara automatik.
Ti berkata pertambahan pengundi “jahil” hanya memberi lebih banyak peluang kepada ahli politik menggunakan wang untuk meraih sokongan dan memenangi pilihan raya.
Bagaimanapun, Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah mempersoalkan hak Ti melarang orang mengundi.
“Siapa anda untuk beritahu saya yang saya jahil? Mengundi itu sendiri sudah menjadi tindakan politik.
“Sebagai orang MCA, beliau patut baca semula Perlembagaan,” katanya kepada FMT hari ini.
Maria bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan ganjaran tunai diberikan bagi menggalakkan belia mendaftar sebagai pengundi.
“Saya ada pandangan berbeza. Kita tidak boleh meluluskan perkara itu. Bagaimanapun, ia tidak bermakna kita tidak perlu mendaftar.”
Katanya, kenyataan Ti sesuatu yang mengejutkan kerana “tidak memahami Perlembagaan Persekutuan”.
“Setiap rakyat Malaysia perlu mempunyai hak untuk mengundi apabila mereka mencapai usia 21 tahun. Ini sebahagian daripada tadbir urus demokrasi yang kami perjuangkan – setiap warganegara perlu menentukan siapa wakil mereka.
“Parti politik dan pemimpin ini lupa kami yang mengundi mereka,” kata Maria.
Bersih 2.0 pernah mencadangkan pelaksanaan pendaftaran pengundi secara automatik beberapa tahun lalu, tetapi ditolak kerajaan.
Sejak itu, beberapa kumpulan tampil menyokong cadangan itu, termasuk PKR dan Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa).
Ti hari ini berkata Malaysia tidak boleh bergantung kepada sekumpulan pengundi yang tidak berminat politik yang menurutnya senang dibeli.
“Meningkatkan (jumlah pengundi yang) tidak berminat politik, bersikap tidak peduli atau buta huruf melalui pendaftaran automatik atau insentif melalui NGO adalah tindakan tidak bertanggungjawab dan tidak patut berlaku,” katanya.
Katanya, apabila saingan semakin sengit dan kemenangan bergantung kepada peratusan kecil pengundi atas pagar, “insentif” yang ditawarkan itu akan menjadi “sogokan” dan amalan rasuah bermula.
Baru-baru ini, Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berikrar membelanjakan wang simpanannya sebanyak RM300,000 untuk membantu pertandingan #UntungDaftar anjuran badan bukan kerajaan berkait PKR, Invoke.
Peserta hanya perlu memuat naik slip pendaftaran sebagai pengundi serta memberitahu Invoke sebab mereka mendaftarkan diri dan sertakan beberapa butiran peribadi untuk berpeluang memenangi tunai.
Mereka yang memberi jawapan terbaik setiap minggu akan memenangi hadiah utama RM1,000 dan 2 naib juara akan mendapat RM500 manakala 3 yang lain bakal diberikan RM200 setiap seorang.
Pautan:
C4, Bersih 2.0 bidas Rafizi beri wang tarik belia jadi pengundi