Protes Uber, GrabCar, 100 pemandu teksi berarak di KL

Protes Uber, GrabCar, 100 pemandu teksi berarak di KL

Pemandu teksi berkata meskipun kerajaan meluluskan perkhidmatan Uber dan GrabCar, mereka enggan menerimanya dan akan terus membantah hingga ‘keadilan ditegakkan’.

uber-grab-teksi-protes-1
KUALA LUMPUR:
Kira-kira 100 pemandu teksi dari seluruh semenanjung Malaysia berkumpul hari ini berhampiran Jalan Duta dan berarak ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menghentikan perkhidmatan pemandu Uber dan GrabCar.

Pemandu dari beberapa negeri seperti Pulau Pinang, Melaka dan Johor datang ke Jalan Duta menaiki bas disediakan Jawatankuasa Bertindak Persatuan Teksi se-Malaysia yang turut menyediakan sarapan untuk mereka.

Ketika ditanya mengapa mereka membantah perkhidmatan pemandu berkenaan, beberapa pemandu teksi berkata kerana ia menyalahi undang-undang.

“Ini bukan perkara baru. Sudah banyak kali kami cakap, ia bertentangan dengan undang-undang. Bagaimana PM boleh benarkan sesuatu yang menyalahi undang-undang,” kata seorang pemandu teksi yang hanya mahu dikenali sebagai Zulkifly kepada FMT.

teksi-uber

Seorang lagi pemandu teksi, Steven Kok yang datang dari Pulau Pinang berkata mereka tidak akan berdiam diri sehingga perkhidmatan pemandu Uber dan Grab Car diharamkan.

Ketika ditanya mengapa pemandu teksi tidak mahu menjadi pemandu Uber atau GrabCar, Steven berkata kerana ia menyalahi undang-undang, dan pemandu teksi sudah mengeluarkan banyak wang untuk memandu teksi.

“Ada antara kami sudah lama memandu teksi. Kami patuhi undang-undang, kami bayar wang, kami menderita.

“Bila Uber datang, perniagaan kami semakin teruk. Kami tidak akan berhenti hingga keadilan ditegakkan,” katanya.

Kerajaan baru-baru ini memberikan kelulusan kepada perkhidmatan pemandu berkenaan, dan Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata lesen memandu kenderaan awam (PSV) akan dikeluarkan dan dipanggil “kad pemandu”.

Katanya, hanya pemandu yang mempunyai rekod memandu baik saja dibenarkan memohon kad itu.

Aziz berkata permit baharu itu akan membolehkan kerajaan menjadikan perkhidmatan Uber dan GrabCar sah di sisi undang-undang tanpa perlu meminda undang-undang sedia ada.

Katanya, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat akan mengendalikan permit PSV dan meminta semua pemandu Uber dan GrabCar mendaftar dengan pihak berkuasa.

Keputusan itu mencetuskan lagi kemarahan pemandu teksi, yang sejak awal lagi menyelar pemandu Uber dan GrabCar yang tidak perlu membayar permit memandu dan lesen.

Selepas pengumuman kerajaan itu, pemandu teksi semakin bimbang ia akan memusnahkan periuk nasi mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.