
Datuk Mah Siew Keong yang juga ahli Parlimen Teluk Intan bagaimanapun menyuarakan kebimbangan masyarakat Cina terhadap pindaan akta yang juga dikenali sebagai Akta 355 kepada kumpulan pemimpin tempatan PAS terbabit.
Mah yang dipetik Sin Chew Daily berkata, beliau dan Gerakan membantah usul persendirian itu dibahaskan di Parlimen, memandangkan ia melanggar Perlembagaan negara kerana tidak mengehadkan bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Beliau turut memaklumkan kepada pemimpin PAS itu yang Persekutuan Persatuan Hokkien sudah mendapat jutaan tandatangan rakyat membantah rang undang-undang itu yang menunjukkan kebimbangan masyarakat Cina terhadap pindaan akta berkenaan.
“Gerakan bertegas membantah pendirian melaksanakan hukum hudud di negara ini. Saya yakin Parlimen tidak akan membahaskan usul persendirian Hadi pada Oktober nanti.
“Tetapi, jika ia dibahaskan di Parlimen, Gerakan tentu akan kemukakan bantahan,” katanya yang menerima memorandum diserahkan Yang Dipertua PAS Kawasan Teluk Intan, Ismail Che Nik, semalam.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu berkata, dalam mesyuarat Barisan Nasional, Gerakan pernah meminta BN mendahulukan perbahasan ke atas usul kerajaan berbanding usul persendirian di Parlimen.
“Parlimen masih ada banyak usul yang perlu dibahaskan, tidak patut mendahulukan perbahasan usul persendirian,” katanya.
Usul itu dibentangkan di Dewan Rakyat pada Mei lalu dan akan dibahas pada bulan depan.
RUU Hadi juga digelar RUU Hudud oleh sesetengah ahli politik yang berhasrat meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) dan meningkatkan kuasa mahkamah syariah, supaya Kelantan boleh mengenakan beberapa jenis hukuman jenayah Islam, termasuk hukuman berkaitan hudud, kecuali hukuman mati.
Mahkamah syariah bergerak mengikut undang-undang negeri. Bagaimanapun, statut Persekutuan perlu dipinda bagi membolehkan bidang kuasa itu diperluaskan.
Pautan: