Nasihat Khoo Kay Kim pada bakal presiden FAM

Nasihat Khoo Kay Kim pada bakal presiden FAM

Tan Sri Prof Khoo Kay Kim berkata siapa pun, termasuk TMJ perlu tahu mengurus pasukan dan mempunyai pengetahuan luas dalam bola sepak sebelum terajui FAM.

Khoo-Kay-Kim_fam_600
PETALING JAYA: Mereka yang bercita-cita untuk mengangkat kembali mutu sukan bola sepak negara perlu mempunyai pengalaman, dedikasi tinggi serta bersedia melepaskan jawatan itu jika gagal membawa kejayaan kepada pasukan, kata Tan Sri Prof Khoo Kay Kim.

Pengkritik sukan itu berkata mana-mana pihak sekalipun, termasuk Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim – jika ingin menerajui tampuk Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), mesti tahu bekerja dan bukannya hanya pandai bercakap.

“Siapa yang ingin menguruskan bola sepak, mesti faham, ada pengalaman serta berdedikasi kerana pengetahuan dan pengalaman sangat penting dalam usaha membangunkan mutu bola sepak.

“Mereka tak boleh hanya pandai cakap saja,” katanya kepada FMT.

Khoo berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan TMJ berhubung skuad kebangsaan jika berada di bawah kelolaannya, pasti boleh lakukan perkara sama seperti pemain Kelab Bola Sepak Johor Darul Takzim (JDT).

TMJ dalam laman Facebook Johor Southern Tiger baru-baru ini berkata:”Saya ingin berterus terang, bukan kerana disebabkan angkuh atau mahu berlagak, tetapi saya orang paling sesuai untuk mengubah bola sepak tanah air. Bukan mahu cakap besar, tetapi saya tahu saya mempunyai formula dan formula itu berjaya dalam JDT.

“Sekiranya saya mengambil alih skuad kebangsaan, mereka pasti boleh lakukan perkara yang sama sepertimana JDT tetapi bukanlah terus menang,” katanya.

Mengakui tidak tahu sejauh mana kemampuan TMJ dalam memajukan bola sepak negara, Khoo berkata sekiranya pihak yang diamanah membangunkan FAM gagal berbuat demikian, mereka seharusnya berundur secara sukarela bukannya dipaksa meletakkan jawatan.

“Saya tidak tahu kemampuannya. Kalau saya pernah berbincang dengan baginda barulah saya boleh menilai sejauh mana kemampuannya.

“Tetapi secara umumnya, macam selalu saya kata kalau mereka yang diberi peluang (bangunkan bola sepak negara) dan mereka tidak capai kejayaan dalam masa 2 atau 4 tahun, mereka mesti berundur.

“Jangan tunggu sampai kena pecat dan beri peluang kepada orang lain,” katanya.

Pautan:

Saya bukan berlagak, kata TMJ

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.