Warga Singapura suspek ke-9 ditahan kes tipu gelaran ‘Datuk’

Warga Singapura suspek ke-9 ditahan kes tipu gelaran ‘Datuk’

Lelaki berumur 68 tahun itu ditahan dalam serbuan oleh sepasukan polis pada kira-kira pukul 10 malam semalam.

polis
KUALA LUMPUR:
Polis menahan seorang lelaki warga Singapura yang dipercayai menjadi dalang sindiket penipuan mendapatkan gelaran ‘Datuk’ di Macap Baru, Durian Tunggal di Melaka, semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata lelaki berumur 68 tahun itu ditahan dalam serbuan oleh sepasukan polis pada kira-kira pukul 10 malam.

Beliau berkata dengan penahanan lelaki itu menjadikan jumlah keseluruhan suspek ditahan berhubung kes itu kini seramai 9 orang.

“Suspek dipercayai mengenali mangsa (peguam) dan direman 4 hari bermula hari ini,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, malam ini.

Semalam, Bernama melaporkan seramai 8 individu terdiri daripada 4 lelaki dan 4 wanita berumur lingkungan 30 sehingga 40 tahun ditahan berhubung kes itu.

Polis menerima laporan daripada seorang peguam lelaki berusia 63 tahun yang mendakwa telah diperdaya supaya membayar RM604,000 untuk didermakan kepada sebuah yayasan sebagai syarat untuk pengadu mendapatkan gelaran Datuk.

Mengulas mengenai tangkapan 8 suspek yang ditahan di sekitar Kelantan, Perak dan ibu negara pada Khamis lepas, Acryl Sani berkata mereka terdiri daripada pembantu peribadi, peniaga, pekerja hotel, suri rumah, pengawal keselamatan kelab malam, broker dan ejen insurans.

“Kesemua yang ditahan dijangka dituduh di Kuching, Sarawak esok,” katanya.

Katanya, setakat ini polis masih memburu seorang lagi suspek yang masih bebas.

Pautan:

8 individu ditahan kes tipu gelaran ‘datuk’

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.