Umno tidak terancam dengan parti baharu Shafie Apdal, kata Ku Nan

Umno tidak terancam dengan parti baharu Shafie Apdal, kata Ku Nan

Tengku Adnan menyifatkan situasi bekas pemimpin berpaling tadah dan menubuhkan parti baharu bukan sesuatu yang asing bagi BN dan Umno.

tengku-adnan-shafie
PASIR SALAK:
Barisan Nasional (BN) dan Umno tidak terancam dengan tindakan bekas Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal untuk menerajui satu parti baharu dengan mengambil alih parti politik sedia ada di Sabah.

Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata situasi bekas pemimpin berpaling tadah dan menubuhkan parti baharu bukan sesuatu yang asing bagi BN dan Umno.

“Saya percaya selagi kita (Umno dan BN) bersatu padu dan setia terhadap presiden (Datuk Seri Najib Tun Razak), kita tidak perlu risau situasi begini.

“Dia (Shafie) mahu cuba, saya ucapkan ‘good luck and best of luck’,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Pasir Salak, di sini hari ini.

Terdahulu, dalam ucapannya, Tengku Adnan berkata Umno yang ditubuhkan pada 1946 merupakan sebuah parti yang mempunyai struktur yang kukuh.

“Sepanjang 70 tahun penubuhannya, Umno berdepan dengan pelbagai dugaan dan rintangan akibat kealpaan dan perbezaan pendapat yang berlaku dalam kalangan ahli.

“Bukan sekali kita dikhianati, bukan sekali pemimpin kita berpaling tadah dan menubuhkan parti baharu, banyak kali. Malah, kita terpaksa memikul masalah legasi terdahulu,” katanya.

Selain itu, Tengku Adnan berkata semua ahli parti perlu mengekalkan semangat BN yang merupakan tunjang utama kekuatan parti itu.

“Contohnya ketika Umno lemah pada pilihan raya umum 1999, undi Cina dan India menjadi penyelamat. Itu sebab kita kena kekalkan semangat BN pada semua … daripada pelbagai kaum,” katanya.

Pautan:

Umno Sabah sedia berdepan parti baharu Shafie

Zahid yakin BN Sabah tidak terkesan parti Shafie

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.